818 ditahan, rampas dadah bernilai lebih RM300,000

Pil kuda turut dirampas dalam operasi selama dua minggu di Kelantan. - Gambar hiasan (Gambar kecil: Muhamad Zaki)
Pil kuda turut dirampas dalam operasi selama dua minggu di Kelantan. - Gambar hiasan (Gambar kecil: Muhamad Zaki)
A
A
A

KOTA BHARU - Polis Kelantan menahan 818 individu dan merampas pelbagai jenis dadah bernilai RM313,962 pada Operasi Tapis Bersepadu selama dua minggu bermula 23 Oktober lalu.

Ketua Polis Kelantan, Datuk Muhamad Zaki Harun berkata, operasi dijalankan oleh pasukan pegawai dan anggota dari Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Kelantan di seluruh daerah di negeri ini yang berakhir pada Ahad.

Menurut beliau, mereka yang ditangkap berusia antara 16 hingga 71 tahun terdiri daripada 799 lelaki dan 12 perempuan termasuk empat pelajar sekolah dan seorang penuntut institusi pengajian tinggi awam (IPTA).

“Tangkapan itu termasuk 22 individu yang dipercayai terbabit dalam pengedaran dadah mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952 dan seramai 392 ditangkap kerana memiliki dadah di bawah pelbagai seksyen pemilikan.

“Seramai 345 lagi ditahan kerana menagih dadah dan melakukan kesalahan mengikut Seksyen 15 (1) (a) ADB 1952, Seksyen 3(1) ADB Langkah-langkah Pencegahan Khas (13) dan waran tangkap (39),” katanya dalam satu sidang akhbar di sini, pada Isnin.

Menurut beliau, jumlah dadah yang dirampas itu dianggarkan boleh digunakan untuk seramai 39,639 penagih dadah.

Katanya, rampasan dadah berkenaan termasuklah 15,348 pil kuda, 52.58 gram (g) syabu, heroin (17.57g), ganja 11 kilogram (kg) dan pil ekstasi (119).

“Selainnya, polis menemukan 240 pil eramin 5, 79kg daun ketum dan 414 liter air ketum.

Artikel Berkaitan:

“Pelbagai jenis harta turut disita terdiri iaitu kenderaan, wang tunai, wang dalam akaun dan barang kemas dianggarkan bernilai RM500,343 di bawah Akta Dadah Berbahaya (Pelucuthakan Harta) 1988,” ujarnya.

Beliau berkata, keseluruhan nilai rampasan dadah dan sitaan harta dianggarkan operasi itu berjumlah RM814,305 dan pihaknya akan meneruskan usaha membanteras jenayah dadah di Kelantan di samping kerjasama masyarakat untuk terus menyalurkan maklumat berkaitan.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!