Ditahan miliki dadah, dua lelaki cuba sogok polis

Polis
Polis
A
A
A

KUALA LUMPUR - Padah cuba menyogok anggota polis setelah ditahan kerana memiliki dadah, dua lelaki diberkas dalam kejadian di Jalan Puchong Mutiara di sini pada Jumaat.

Ketua Polis Daerah Brickfields, Asisten Komisioner Amihizam Abdul Shukor berkata, suspek memandu kereta jenis Proton Saga sebelum ditahan kira-kira jam 12.30 tengah malam.

"Anggota polis dari Unit Rondaan Bermotosikal (URB), Bahagian Pencegahan Jenayah dan Keselamatan Komuniti,Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Brickfields itu kemudiannya menjalankan pemeriksaan terhadap suspek.

"Suspek menyerahkan satu bungkusan kertas yang mengandungi serbuk dadah jenis MDMA dengan anggaran berat keseluruhan berjumlah 204.4 gram," katanya menerusi kenyataan pada Jumaat.

Katanya, suspek kemudiannya bertindak cuba menyogok anggota polis bertugas untuk dilepaskan daripada tangkapan.

"Bagaimanapun tindakan suspek dihalang dan anggota polis kemudian merampas wang tunai berjumlah RM400.

"Semasa proses tangkapan, pihak polis juga menahan seorang lelaki yang mengaku sebagai kawan kepada suspek dan cuba untuk meminta untuk dilepaskan suspek pertama," katanya.

Menurutnya, kedua-dua suspek bersama dadah yang dirampas dibawa ke IPD Brickfields untuk tindakan lanjut.

"Kes disiasat di bawah Seksyen 39B, Akta Dadah Berbahaya 1952 dan Seksyen 17 (b) Akta Suruhanjaya Pencegahan Jenayah Rasuah Malaysia 2009," katanya.