Hiba terima berita kematian bapa ketika menanti giliran terima skrol


Haslina tetap kuat naik ke pentas menerima ijazah.
Haslina tetap kuat naik ke pentas menerima ijazah.
A
A
A

KUALA NERUS - Kegembiraan seorang graduan untuk menerima skrol ijazah pada majlis konvokesyen di Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA) bertukar hiba apabila mendapat berita kematian bapa tercintanya pada pagi Isnin.

Khabar duka itu diterima Haslina Kalang, 23, yang berasal dari Tawau, Sabah menerusi panggilan telefon daripada jirannya, kira-kira 15 minit sebelum naik ke pentas.

Dia dimaklumkan bapanya, Kalang Tona, 56 meninggal dunia pada jam 10.30 pagi tadi.

Suasana pilu jelas dirasai dalam dewan itu, apabila Haslina dipeluk Pengarah Pusat Komunikasi Korporat dan Pengurusan Perhubungan, Prof Madya Dr Syarilla Iryani Ahmad Saany, di hadapan Pro Canselor UniSZA, Tan Sri Mohd Yusof Noor dan Pengurusan Tertinggi UniSZA di atas pentas yang turut berkongsi kesedihan graduan itu.

Graduan Ijazah Sarjana Muda Hubungan Antarabangsa itu berkata, dia sememangnya berat hati untuk hadir ke konvokesyen itu kerana risau terhadap kesihatan bapanya yang menghidap strok.

“Ayah suruh saya datang juga pada majlis konvokesyen hari ini dan dia nak saya naik ke pentas menerima ijazah.

Haslina (tiga dari kanan) kelihatan sedih semasa mengambil skrol sambil dipeluk Dr Syarilla Iryani, selepas menerima berita kematian bapanya pada Majlis Konvokesyen Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA) Ke-15, Kampus Gong Badak, pada Isnin.
Haslina (tiga dari kanan) kelihatan sedih semasa mengambil skrol sambil dipeluk Dr Syarilla Iryani, selepas menerima berita kematian bapanya pada Majlis Konvokesyen Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA) Ke-15, Kampus Gong Badak, pada Isnin.

“Saya tak sangka ayah pergi dahulu sebelum saya naik ke pentas (terima skrol ijazah).

Artikel Berkaitan:

"Bagaimanapun, saya kuatkan diri untuk naik ke atas pentas sekejap untuk menerima skrol ijazah tersebut," katanya dengan nada sebak ketika ditemui pemberita selepas majlis konvokesyen, di sini pada Isnin.

Anak kedua dari lima beradik itu memberitahu dia menjaga ayahnya sepenuh masa selepas menamatkan pengajian di universiti.


Haslina ketika mendapat khabar mengenai pemergian bapanya.
Haslina ketika mendapat khabar mengenai pemergian bapanya.

"Saya belum bekerja di mana-mana tempat lagi kerana jaga ayah yang terlantar sakit.

"Alhamdulillah, saya dapat berbakti kepada ayah sebelum dia meninggal dunia. Namun saya reda dengan pemergian ayah,” ujarnya dengan tangisan.

Sementara itu, pihak UniSZA telah menyampaikan sumbangan wang tunai berjumlah RM2,500 kepada Haslina untuk membeli tiket penerbangan pulang ke Tawau pada hari ini.

Difahamkan, Haslina tiba di Terengganu dua hari lepas serta ditemani kakak sulungnya yang datang dari Johor untuk hadir ke majlis konvokesyen pada Isnin.