Jenayah komersial: Kes penipuan catat peratusan terbesar

Kesalahan penipuan mencatatkan peratusan terbesar di bawah jenayah komersial iaitu 89.2 peratus atau 27,247 kes pada tahun 2022. - Gambar hiasan
Kesalahan penipuan mencatatkan peratusan terbesar di bawah jenayah komersial iaitu 89.2 peratus atau 27,247 kes pada tahun 2022. - Gambar hiasan
A
A
A

SHAH ALAM - Kesalahan penipuan mencatatkan peratusan terbesar di bawah jenayah komersial iaitu 89.2 peratus atau 27,247 kes pada tahun 2022.

Bagaimanapun, Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) memaklumkan, secara keseluruhan jenayah komersial merekodkan penurunan sebanyak tiga peratus daripada 31,490 pada 2021 kepada 30,536 kes (2022).

Ketua Perangkawan Malaysia, Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin berkata, Polis Diraja Malaysia (PDRM) melaporkan kesemua jenis kesalahan di bawah jenayah komersial menurun kecuali kesalahan berkaitan wang palsu dan jenayah siber.

Menurutnya, jenayah siber meningkat sebanyak 44.3 peratus kepada 577 kes daripada 400 kes dalam tempoh sama.

“Seterusnya, jenayah indeks mencatatkan penurunan sebanyak 4.1 peratus kepada 50,813 kes berbanding 52,974 tahun sebelumnya.

“Jenayah indeks merangkumi jenayah kekerasan dan jenayah harta benda. Kedua-dua jenayah ini masing-masing menunjukkan penurunan 10 peratus dan 2.4 peratus kepada 10,348 kes dan 40,465 kes pada 2022,” katanya dalam satu kenyataan pada Khamis.

Tambah Mohd Uzir, bagi kes berkaitan dadah meliputi membekal, memiliki dan positif ujian urin menunjukkan peningkatan sebanyak 30.6 peratus kepada 141,289 kes pada 2022.

Jelasnya, kesalahan membekal menunjukkan pertambahan sebanyak 18 peratus manakala memiliki dadah menaik kepada 35.1 peratus dan positif ujian urin meningkat sebanyak 31.2 peratus berbanding 2021.

Artikel Berkaitan:

Menurutnya, bilangan tangkapan berkaitan kes dadah pula meningkat sebanyak 26.3 peratus kepada 163,697 tangkapan pada 2022 seperti yang dilaporkan oleh PDRM.

Dalam pada itu, beliau turut memaklumkan bilangan kes jenayah seksual bertambah sebanyak 2.9 peratus pada 2022 dengan 3,303 kes berbanding 3,209 kes pada 2021.

“Bagaimanapun, kes seks luar tabii, gangguan seksual dan cabul kehormatan masing-masing menunjukkan penurunan sebanyak 10.4 peratus, 5.7 peratus dan 0.5 peratus.

“Kes rogol mencatatkan peratus peningkatan tertinggi pada 2022 iaitu 9.6 peratus,” ujarnya.

Mohd Uzir berkata lagi, bilangan kertas siasatan yang dibuka berkaitan rasuah oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) merekodkan penurunan sebanyak satu peratus kepada 820 kes (2022) daripada 828 kes (2021).

Sementara itu, bagi bilangan saman trafik yang dikeluarkan oleh PDRM, Mohd Uzair memberitahu, ia meningkat sebanyak 15.3 peratus kepada 5.3 juta saman pada tahun 2021 berbanding 2021 (4.6 juta saman).

“Bagi jenayah maritim pula, Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) mencatatkan bilangan tangkapan tertinggi bagi kesalahan di bawah Akta Perikanan 1985 (604 kes) dengan peningkatan lima peratus berbanding 575 kes (2021).

“Dari segi fasiliti pemulihan, bilangan orang diparol yang direkodkan oleh Jabatan Penjara Malaysia pada 2022 mencatatkan peningkatan sebanyak 5.5 peratus kepada 7,613 orang berbanding 7,218 orang (2021).