Lelaki ada 15 rekod jenayah ditahan kes pecah rumah

Photo for illustrative purposes.
Photo for illustrative purposes.
A
A
A

JOHOR BAHRU - Polis menahan seorang lelaki yang mempunyai 15 rekod jenayah kerana disyaki terlibat dalam kes pecah rumah di sebuah kediaman di Taman Aman, Kluang Jumaat lepas.

Ketua Polis Daerah Kluang, Asisten Komisioner Bahrin Mohd Noh berkata, lelaki tempatan berumur 30-an itu ditahan di sekitar Kluang kira-kira pukul 3.30 petang Sabtu.

Beliau berkata, polis menerima laporan kejadian pecah rumah itu pada jam 6.42 pagi, Jumaat dan siasatan mendapati ketika kejadian, rumah berkenaan tiada penghuni dan hanya disedari pengadu selepas penggera di telefon bimbitnya berbunyi.

"Rakaman kamera litar tertutup (CCTV) menunjukkan seorang lelaki telah memanjat masuk ke dalam rumah melalui pagar di depan rumah," katanya dalam satu kenyataan pada Ahad.

Beliau berkata, semakan rekod mendapati lelaki itu mempunyai rekod lampau berkaitan kes jenayah dan narkotik serta didapati positif dadah jenis methamphetamine menerusi ujian air kencing.

"Lelaki berkenaan kini ditahan reman selama lima hari mulai hari ini dan kes disiasat mengikut Seksyen 457 Kanun Keseksaan," katanya sambil menambah kejadian itu tidak melibatkan kehilangan wang atau barang berharga.

Sebelum itu, tular satu video berdurasi seminit 10 saat menerusi media sosial memaparkan seorang individu memanjat pagar di sebuah rumah. - Bernama