MMA gesa penjelasan perolehan ventilator ketika Covid-19

MMA menggesa penjelasan menyeluruh mengenai pengurusan perolehan ventilator yang dibekalkan kepada kerajaan ketika negara dilanda Covid-19. - Gambar hiasan (Gambar kecil: Dr Azizan)
MMA menggesa penjelasan menyeluruh mengenai pengurusan perolehan ventilator yang dibekalkan kepada kerajaan ketika negara dilanda Covid-19. - Gambar hiasan (Gambar kecil: Dr Azizan)
A
A
A

SHAH ALAM - Persatuan Perubatan Malaysia (MMA) menggesa penjelasan menyeluruh mengenai pengurusan perolehan ventilator yang dibekalkan kepada kerajaan ketika negara dilanda Covid-19.

Presiden MMA, Dr Azizan Abdul Aziz berkata, laporan yang dikeluarkan Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC) mengenai perkara itu menimbulkan lebih banyak persoalan daripada jawapan.

Beliau menegaskan, seharusnya ada pihak yang bertanggungjawab atas kekurangan dokumentasi dalam perolehan peralatan berkenaan.

"Sekiranya Pharmaniaga Logistics Sdn Bhd (PLSB) tidak mempunyai pengalaman dalam perolehan peralatan perubatan, dokumentasi yang sewajarnya perlu diutamakan untuk ketelusan dan akauntabiliti.

"Bagaimana 104 daripada 136 ventilator yang dihantar tidak dapat digunakan tanpa mana-mana pihak bertanggungjawab menuntut penjelasan dengan teliti," katanya menerusi kenyataan pada Selasa.

Berdasarkan laporan Pengurusan Wabak Covid-19: Vaksin Luput Tempoh Hayat, Peralatan Ventilator Tidak Dapat Digunakan dan lebihan Peralatan Perlindungan Diri (PPE) yang dikeluarkan PAC, tiada kontrak digubal antara Kementerian Kesihatan dan PLSB mengenai perolehan ventilator dan Penasihat Undang-undang KKM juga tidak dirujuk semasa proses penyediaan surat pelantikan PLSB.

Dalam pada itu, beliau menegaskan, isu berkenaan tidak boleh diketepikan kerana perkara itu keperluan mendesak bagi dasar perolehan kecemasan, sekali gus tidak mahu ia berulang pada masa hadapan.

"Urus niaga untuk perolehan ventilator mungkin berlaku pada masa yang paling luar biasa, namun jika proses perolehan biasa tidak dapat dilakukan, sekurang-kurangnya dokumentasi sewajarnya mesti dilaksanakan.

Artikel Berkaitan:

"Dokumen, termasuk dokumen yang ditandatangani masih boleh dikongsi melalui (aplikasi) WhatsApp," ujarnya.