Perolehan ventilator ketika Dr Adham Baba jadi Menteri Kesihatan - PAC

Gambar hiasan 123RF
Gambar hiasan 123RF
A
A
A

KUALA LUMPUR - Perolehan 104 unit ventilator yang dibuat tanpa perjanjian bertulis sebagaimana dalam laporan Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC), dilakukan semasa Datuk Seri Dr Adham Baba menjadi Menteri Kesihatan.

Perkara itu dimaklumkan Pegerusi PAC, Datuk Mas Ermieyati Samsudin dalam sidang media berkenaan laporan Pengurusan Wabak Covid-19: Vaksin Luput Tempoh Hayat, Peralatan Ventilator Tidak Dapat Digunakan dan lebihan Peralatan Perlindungan Diri (PPE) di Bangunan Parlimen pada Khamis.

"Memang semua sudah sedia maklum, yang ini (perolehan) di bawah sewaktu Menteri (Kesihatan) Datuk Seri Dr Adham Baba. Malah YB (Yang Berhormat) Khairy Jamaluddin pun sudah bagi kenyataan ia bukan diperoleh semasa beliau menjadi Menteri Kesihatan,” katanya.

Isnin lepas PAC mengeluarkan laporan yang antara lain memaklumkan ketiadaan perjanjian bertulis antara KKM dan Pharmaniaga Logistic Sdn Bhd (PLSB) menyebabkan tiada mana-mana pihak boleh dipertanggungjawabkan untuk diambil tindakan berhubung kegagalan 104 unit ventilator berfungsi.

PAC turut mendedahkan masih terdapat sejumlah 8.5 juta dos vaksin Covid-19 bernilai RM505 juta yang telah luput tempoh setakat 1 Jun 2023.

Susulan itu, Mas Ermieyati berkata, Kementerian Kesihatan (KKM) diberi tempoh dua bulan untuk menjawab lima syor PAC berhubung laporan Pengurusan Wabak Covid-19: Vaksin Luput Tempoh Hayat, Peralatan Ventilator Tidak Dapat Digunakan dan lebihan Peralatan Perlindungan Diri (PPE) yang dikeluarkan Isnin lepas.

Beliau berkata, ini kerana selepas PAC mengadakan prosiding maklum balas, jawatankuasa itu akan membentangkan Laporan Tindakan Susulan berhubung hal berkenaan yang turut mengandungi maklum balas KKM.

"Dalam setiap isu yang disiasat PAC, dua laporan akan dihasilkan dan kedua-dua laporan ini akan melalui lima mesyuarat sebelum ia dapat dihasilkan serta dibentangkan di Parlimen.

Artikel Berkaitan:

"Ini menunjukkan betapa PAC komited untuk memastikan rakyat mengetahui apa yang dilakukan kerajaan terhadap segala rumusan dan syor yang dibuat PAC,” katanya.

Antara lain lima syor PAC ialah walaupun berhadapan dengan keadaan darurat, dokumentasi hendaklah dilaksanakan dengan usaha wajar, KKM perlu segera menyemak status waranti bagi kesemua 136 unit ventilator dan memastikan tindakan sewajarnya diambil terhadap pihak bertanggungjawab.

Selain itu, Mas Ermieyati berkata, setiap laporan PAC yang dibentangkan perlu dipersetujui tujuh wakil tetap kerajaan (Ex-Officio) terdiri daripada Jabatan Peguam Negara, Jabatan Perkhidmatan Awam, Kementerian Kewangan, Jabatan Audit Negara, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia, Kementerian Ekonomi dan Jabatan Akauntan Negara.

Kesemua ahli PAC termasuk tujuh Ex-Officio, kata beliau perlu bersetuju secara konsensus dengan laporan, rumusan dan syor sebelum ia dibentangkan di Dewan Rakyat dan sehingga kini tidak pernah mana-mana laporan PAC perlu melalui undi belah bahagian.

Mas Ermieyati berkata, laporan yang dipersetujui secara konsensus itu adalah bukti bahawa PAC adalah sebuah jawatankuasa non partisan dan tidak membawa ideologi parti politik mereka apabila menghadiri mesyuarat PAC.

"Yang penting bagi kami 14 ahli PAC adalah memastikan wang rakyat dibelanjakan demi kepentingan negara dan rakyat secara berhemah,” katanya.

Sementara itu, Mas Ermieyati berharap kerajaan dapat meminda Akta Audit 1957 supaya PAC dapat memohon pihak Jabatan Audit Negara (JAN) untuk melaksanakan audit secara terus ke atas mana-mana kementerian, agensi, jabatan serta pihak yang menerima dana kerajaan apabila diperlukan oleh PAC.

Dalam perkembangan lain, Mas Ermieyati berharap kerajaan segera menyahklasifikasi Laporan Siasatan Jawatankuasa Siasatan Tadbir Urus, Perolehan dan Kewangan Kerajaan (JKSTUPKK) berhubung Projek Land Swap di bawah Kementerian Pertahanan bagi membolehkan PAC menjalankan prosiding berhubung projek itu. - Bernama