Kesatuan umat Islam lemah punca Israel terus zalimi Palestin - Ab Aziz

Ab Aziz berkata, peperangan yang berlaku di Semenanjung Gaza berkait dengan seluruh umat Islam di dunia.
Ab Aziz berkata, peperangan yang berlaku di Semenanjung Gaza berkait dengan seluruh umat Islam di dunia.
A
A
A

KOTA BHARU - Kesatuan umat Islam di seluruh dunia yang lemah ketika ini menyebabkan penindasan dan kekejaman rejim Zionis Israel ke atas rakyat Palestin berterusan.

Rektor Kolej Universiti Islam Antarabangsa Sultan Ismail Petra (KIAS), Profesor Emeritus Dr Ab Aziz Mohd Zin berkata, walaupun kedengaran agak kasar namun hakikat sebenar peperangan yang berlaku di Semenanjung Gaza ialah pertembungan di antara orang Islam dengan Israel atau Yahudi.

Katanya, sama ada suka atau tidak, umat Islam perlu menyedari mereka tidak mempunyai kuasa setanding lawan daripada segala segi untuk menghentikan genosid oleh rejim Zionis.

“Ini bukan isu rakyat Palestin sahaja kerana Baitulmaqdis ialah tempat yang suci bagi Islam, jadi peperangan yang berlaku berkait dengan seluruh umat Islam di dunia.

“Israel di Amerika Syarikat ada sekitar enam juta saja tetapi mereka menguasai ekonomi dan politik manakala kekuatan kita, orang Islam tak ada, dari segi fizikal, kekuasaan atau ekonomi, yang kuat hanya pecah-belah dan perbalahan termasuk di negara-negara Arab sendiri,” katanya ketika dihubungi Sinar Harian di sini, pada Selasa.

Menurut beliau yang juga Tokoh Hijratul Rasul Negeri Kelantan, kekuatan mengikut agama Islam merangkumi semangat jihad, dalaman, pegangan dan akidah selain fizikal tubuh badan serta persenjataan.

Katanya, umat Islam perlu membuat persiapan, mengasah kebijaksanaan dan memiliki senjata secanggih pihak lawan seperti di zaman nabi-nabi yang berperang menggunakan tentera berkuda serta memanah.

“Orang Islam di Palestin mahu menegakkan keadilan, mempertahankan agama dan tanah air mereka, sebab itu umat Islam di dunia perlu membantu dengan bersatu.

Artikel Berkaitan:

“Misalnya dalam perang Badar, Rasulullah SAW memimpin seramai 313 orang sahaja, dalam keadaan tidak mempunyai kelengkapan untuk berperang tetapi kebijaksanaan strategi dan kesatuan mereka menghasilkan kemenangan,” kata beliau.

Ab Aziz berkata, untuk umat Islam kembali gagah dan disegani seperti di zaman nabi hanyalah dengan kembali mengamalkan cara hidup berpaksikan al-Quran.

Katanya, waktu ini musuh berjaya mengalihkan perhatian umat Islam daripada al-Quran apabila kebanyakan dilihat hanya menjadikan kalamullah itu sebagai bahan bacaan semata-mata tanpa diamalkan.

“Bagi mengembalikan kebersatuan dan kesamaan umat Islam di dunia yang pertama kita perlu kembali kepada ajaran agama.

“Tabiat yang boleh membawa kepada perpecahan serta bertentangan dengan agama wajib dibuang, barulah Islam kembali kuat di dunia dan menang di Palestin seperti janji ALLAH dalam al-Quran itu pasti,” ujarnya.