Rakyat wajib bersolidariti dengan Palestin

Muhammad Rafique
Muhammad Rafique
A
A
A

SHAH ALAM - Rakyat di negara ini tanpa mengira bangsa dan agama wajib bersolidariti dengan Palestin termasuk menerusi kempen kesedaran di sekolah bagi menjelaskan bahawa Israel negara haram yang melakukan jenayah perang.

Ketua Penerangan Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang), Muhammad Rafique Rashid Ali berkata, individu yang mengkritik secara keterlaluan diingatkan bahawa negara ini tidak pernah mengiktiraf Israel.

“Tidak perlu pergi jauh, hanya buka pasport masing-masing sudah tertera di muka hadapan tentang fakta itu.

“Orang ramai perlu hentikan normalisasi pro-Israel dan pro-Barat, cukuplah bersimpati atau kasihan kepada Israel kerana mereka penjenayah perang,” katanya menerusi hantaran di Facebook pada Isnin.

Tambahnya, sebarang bentuk senjata tidak sesuai digunakan dalam mana-mana program atau kempen kesedaran, namun boleh digambarkan bagaimana keadaan kecederaan kanak-kanak di Gaza.

Jelas beliau, orang dewasa perlu menanam sifat ingin tahu pada anak-anak kecil supaya mereka membesar dengan perasaan ingin bantu orang lain.

“Mereka perlu tahu bahawa kanak-kanak di Gaza tiada makanan atau minuman, tempat bermain, buku untuk dibaca, ibu bapa dan keluarga,” ujarnya.

Muhammad Rafique berkata, bagi generasi muda di sekolah menengah dan universiti, kempen mesti digandakan serta dipertingkatkan kepada aspek pengajaran geopolitik, protes, bantuan kemanusiaan atau semangat kesukarelawan.

Artikel Berkaitan:

Katanya, tiada apa yang salah untuk menyemai solidariti Palestin sekiranya ia dilakukan di institusi pendidikan, namun perlu dilaksanakan dengan cara dan lokasi yang betul.

“Tiada juga yang salah dengan mengajak mereka mengibarkan bendera Palestin bersama Jalur Gemilang dan mengajar mengenai pemakaian kain ‘keffiyeh’ Palestin, antara simbol kebebasan daripada rejim Zionis,” ularnya.