Resolusi PBB: Kaukus Palestin Parlimen saran kerajaan panggil duta negara luar

Syed Ibrahim (tengah) pada sidang media di bangunan Parlimen.
Syed Ibrahim (tengah) pada sidang media di bangunan Parlimen.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Kaukus Palestin Parlimen Malaysia menyarankan supaya kerajaan memanggil duta negara yang menentang resolusi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) yang menuntut pelaksanaan gencatan senjata dan bantuan kemanusiaan ke Semenanjung Gaza.

Ketua Kaukus itu, Syed Ibrahim Syed Noh berkata, langkah berkenaan bukanlah seperti 'demarche' yang digunakan Amerika Syarikat, namun ia untuk menunjukkan langkah tegas negara.

"Duta Besar Malaysia ke Amerika Syarikat telah dipanggil secara 'demarche', iaitu tatatindak daripada kedutaan Amerika Syarikat berhubung dengan pendirian Malaysia tentang Hamas dan mendesak negara untuk menganggap Hamas sebagai pengganas,” katanya pada sidang media di bangunan Parlimen hari ini.

Pada 27 Oktober, PBB menerusi Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNGA) telah meluluskan resolusi, yang menuntut pelaksanaan gencatan senjata dan bantuan kemanusiaan di Semenanjung Gaza dengan menyaksikan 120 negara menyokong, manakala 14 negara membantah dan 45 negara berkecuali.

Dalam pada itu, Syed Ibrahim meminta negara untuk menyokong permintaan Emiriyah Arab Bersatu, bagi Majlis Keselamatan PBB mengadakan sidang khas berhubung tindakan Israel yang meneruskan serangan ke atas orang awam dan serangan darat di Gaza.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Ledang berkata, kaukus itu juga menggalakkan ahli Parlimen seluruh dunia untuk mendesak kerajaan masing-masing supaya akur dengan resolusi PBB dan mendokong gesaan tersebut.

"Kami juga menggesa semua rakyat Malaysia termasuk parti politik yang cintakan keamanan dan kemanusiaan, untuk tumpu kepada isu bencana kemanusiaan terburuk dan jenayah genocide oleh rejim Israel.

"Kita perlu mendesak pemberhentian serangan melampau Israel ke atas hospital, kanak-kanak dan wanita, menuntut laluan selamat (untuk) bantuan kemanusiaan dan mengelakkan peningkatan peperangan. Ketepikan perkara remeh dan propaganda, tunjukkan perpaduan dan solidariti Malaysia yang padu,” katanya. - Bernama

Artikel Berkaitan:

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!