Perlu campur tangan tentera luar hentikan serangan Israel - Mapim

Kelihatan asap berkepul-kepul di Gaza pada Ahad di tengah-tengah pertempuran berterusan antara pengganas Israel dan pejuang Hamas. - Foto AFP Gambar kecil: Mohd Azmi
Kelihatan asap berkepul-kepul di Gaza pada Ahad di tengah-tengah pertempuran berterusan antara pengganas Israel dan pejuang Hamas. - Foto AFP Gambar kecil: Mohd Azmi
A
A
A

SHAH ALAM - Angka kematian yang meningkat sehingga 8,000 orang di Gaza telah membuktikan Israel lebih teruk daripada sekadar rejim apartheid.

Presiden Majlis Perundingan Islam Malaysia (Mapim), Mohd Azmi Abdul Hamid berkata, tidak dapat dinafikan bahawa pengganas sebenar adalah Israel dan urusan dengan pihak terlibat bukan lagi melibatkan rundingan damai kerana rejim terbabit telah melakukan jenayah manusia yang paling teruk tanpa hukuman.

Sehubungan itu, pihaknya menyeru campur tangan kuasa luar untuk menghentikan tindakan pengganas Israel.

"Akibatnya akan mengerikan, tetapi dunia tidak boleh menonton pembunuhan beramai-ramai tanpa disekat.

“Kami telah menegaskan bahawa tidak ada pilihan lain.

"Campur tangan tentera daripada kuasa luar mesti segera dikerahkan ke Gaza,” katanya dalam kenyataan pada Isnin.

Jelasnya, keadaan serangan terorisme Israel ke atas Gaza telah sampai ke tahap melampau.

Beliau berkata, Israel dengan sokongan tanpa syarat dari Amerika Syarikat (AS) diberi kebebasan untuk memusnahkan Gaza.

“Bagi setiap jiwa yang terkorban di Gaza, Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) dan semua agensinya harus bertanggungjawab kerana gagal bertindak dan menghentikan serangan berdarah oleh Israel.

Artikel Berkaitan:

“Resolusi baru-baru ini yang diluluskan untuk gencatan senjata di Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (UNGA) Khas pada Jumaat lalu tidak mempunyai banyak kesan,” tegasnya,

Mohd Azmi berkata, kiraan mayat dan bandar raya yang hancur di Gaza kini menjadi statistik untuk tontonan dunia secara langsung.

“PBB telah memberi amaran bahawa ramai lagi akan mati akibat pengepungan berterusan Israel ke atas Gaza," ujarnya.

Menurutnya lagi, ramai yang bukan sahaja mati akibat bom dan serangan tetapi akan mati akibat kepungan yang dikenakan ke atas Gaza.

“Perkhidmatan asas runtuh, ubat-ubatan, makanan dan air kehabisan dan jalan-jalan Gaza telah mula melimpah dengan kumbahan,” katanya.