‘Gesaan kami mengenai Minggu Solidariti Palestin disalah tafsir’

Laporan Sinar Harian pada Isnin
Laporan Sinar Harian pada Isnin
A
A
A

SHAH ALAM - Gesaan kumpulan 12 wakil rakyat Parti Keadilan Rakyat (PKR) agar program Minggu Solidariti Palestin di sekolah dikaji semula telah disalah tafsir.

Dalam satu kenyataan bersama, kumpulan itu berkata, mereka membuat gesaan tersebut kerana bimbang unsur keterlaluan yang mungkin wujud dalam program tersebut dan bukan penentangan kepada Palestin, apatah lagi menyokong tindak-tanduk Israel.

Tegasnya, pendirian mereka tidak berganjak malah mendukung sepenuhnya kerajaan menentang kezaliman tentera Israel terhadap rakyat Palestin dalam konflik di Timur Tengah.

“Ada antara kami yang menyatakan pendirian ini di Dewan Rakyat, Dewan Undangan Negeri (DUN) malahan pentas antarabangsa. Ketika Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) meluluskan resolusi gencatan senjata, Israel masih melancarkan perang darat di Gaza.

“Ia satu penghinaan terhadap keputusan kebanyakan masyarakat dunia. Sudah tiba masanya PBB mengambil tindakan drastik dengan mengenakan sekatan perdagangan dan ekonomi kepada Israel.

“PBB juga perlu memastikan bantuan kemanusiaan sampai di Gaza dengan mengambil kira mangsa kecederaan dan kematian yang mencecah 10,000 orang,” kata mereka pada Isnin.

Mereka ialah Ahli Parlimen Gopeng, Tan Kar Hing; Ahli Parlimen Petaling Jaya, Lee Chean Chung; Ahli Parlimen Miri, Chiew Choon Man; Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kebun Bunga, Lee Boon Heng; ADUN Rawang, Chua Wei Kiat dan ADUN Semambu, Chan Chun Kuang.

Selain itu, wakil rakyat tersebut juga ialah ADUN Simpang Pulai, Wong Chai Yi; ADUN Chuah, Yew Boon Lye; ADUN Bukit Tambun, Goh Choon Aik; ADUN Kajang, David Cheong Kian Yong; ADUN Bukit Batu, Arthur Chiong Sen Sern dan ADUN Bakar Arang, Adam Loh Wei Chai.

Artikel Berkaitan:

Media pada Sabtu melaporkan, ahli Parlimen serta ADUN PKR menggesa Kementerian Pendidikan (KPM) mengkaji semula keputusan menganjurkan program berkenaan di sekolah dan institusi pendidikan awam yang dijadual bermula Ahad hingga Jumaat ini.

Mereka menjelaskan keputusan mengadakan program tersebut patut dikaji semula supaya sekolah dan institusi awam bebas daripada unsur kedendaman dan keganasan.

Tambah mereka, dakwaan Setiausaha Agung Pas, Datuk Seri Takiyuddin Hassan bahawa naratif yang diambil bersamaan dengan propaganda media Barat adalah dangkal dan berniat jahat.

“Ia mencerminkan pendekatan politik sempit beliau (Takiyuddin) iaitu sebarang cadangan konstruktif dilabelkan sebagai penyokong pihak lain. Momokan ini tidak membantu meraih sokongan semua lapisan masyarakat terhadap perjuangan Palestin.

“Ia bukan perjuangan agama sahaja tetapi mengenai kebebasan dan hak rakyat yang tertindas, maka penting untuk kita mewujudkan wacana supaya dapat meluaskan sokongan daripada masyarakat berbilang kaum serta peringkat antarabangsa.

“Kami berasa hairan beliau tidak pernah memuji tindakan kerajaan menangani kezaliman Israel di Parlimen baru-baru ini, sekarang tiba-tiba mencetuskan polemik dengan dakwaan tidak berasas,” ujar mereka.