PM perlu campur tangan isu petani diusir di Parlimen Tambun

Laporan Sinar Harian.
Laporan Sinar Harian.
A
A
A

JOHOR BAHRU - Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu perlu campur tangan menghentikan operasi memusnahkan tanaman petani di Kanthan, Tambun, Perak.

Ahli Parlimen Pasir Gudang, Hassan Abdul Karim berkata, mereka wajar menyelesaikan isu petani-petani tidak bertanah itu yang berlaku di kawasan yang diwakili Anwar sendiri sebagai Ahli Parlimen Tambun.

Beliau yang juga Ahli Jawatankuasa Pilihan Khas (JKPK) berkaitan keterjaminan makanan menyeru Kerajaan Madani supaya memberikan tanah kepada mereka dan juga petani-petani yang tidak bertanah di seluruh negara untuk menghasilkan tanaman makanan.

"Petani-petani itu menghasilkan 60 tan sayur sehari untuk rakyat. Mereka menanam jagung, bayam, sawit, belimbing dan daun bawang di kawasan seluas 25 ekar.

"Usaha produktif petani-petani tersebut sepatutnya disokong oleh kerajaan, sama ada kerajaan Pusat ataupun kerajaan negeri.

"Sebaliknya petani-petani itu diusir secara paksa, dikasari oleh pihak yang berkuasa dan ditahan pada hari tersebut.

"Petani-petani itu telah mengerjakan tanah-tanah tersebut dengan menanam sayur-sayuran selama tiga generasi.

"Perkara ini berlaku ketika Malaysia sendiri menghadapi masalah kos makanan," katanya dalam kenyataan pada Khamis.

Beliau berkata, keadaan itu berlaku dalam semasa Malaysia terpaksa mengimport makanan untuk rakyat dan ternakan lebih RM50 bilion setahun.

"Kerana itu, saya tidak dapat tidur nyenyak walaupun menginap di sebuah hotel bertaraf lima bintang di Kuala Lumpur. Saya bangun dan menulis nukilan ini pada jam 3 pagi ini.

Artikel Berkaitan:

"Saya perlu berkata sesuatu mempertahankan hak dan kepentingan penanam-penanam sayur di Kanthan, Perak iaitu di Tambun, kawasan Parlimen Perdana Menteri," ujarnya.

Katanya, petani terbabit pernah datang ke Parlimen pada September lalu untuk bertemu Perdana Menteri iaitu wakil rakyat mereka dengan membawa satu memorandum untuk supaya membantu agar mereka tidak diusir dari tanah pertanian yang mereka usahakan.

"Mereka tidak minta hak milik tanah. Mereka tidak minta geran tanah. Mereka hanya minta pajakan tanah untuk mereka mengerjakan tanah itu secara sah dari segi undang-undang. Mereka bukan setinggan di atas tanah itu," katanya.

Menurut Hassan, malangnya mereka yang merupakan peneroka tanah-tanah tersebut tidak dapat berjumpa Perdana Menteri malah diusir di jalan masuk ke Parlimen dengan tindakan kurang manis oleh pihak keselamatan.

"Rakyat miskin dan petani-petani kampung sudah jadi ancaman kepada pemerintah. Memorandum hanya dapat diserahkan kepada wakil Perdana Menteri. Tidak pasti sama ada memorandum petani-petani itu sampai atau tidak kepada Perdana Menteri," tambahnya.

Beliau mendakwa, Perdana Menteri kini yang amat sibuk dengan urusan pentadbiran negara dan urusan antarabangsa berkait serangan Israel ke atas Gaza di Palestin, mungkin tidak menyedari kezaliman juga sedang berlaku ke atas rakyat di kawasan sendiri tanpa disedarinya.

"Jika rakyat Palestin menuntut kembali tanah-tanah mereka yang dirampas; hak untuk merdeka dari penjajahan Zionis Israel dan hak untuk kembali ke tanah air mereka, maka petani-petani di Kanthan, Tambun mohon supaya mereka diberi kebenaran menanam sayur-sayuran, buah-buahan, dan menternak ayam dan itik yang telah mereka, ayah ibu dan datuk nenek mereka usahakan selama 80 tahun," ujarnya.