PRK Jepak: Jentera GPS fokus liputi semua kawasan - Awang Tengah

Jentera GPS akan memberikan fokus kepada usaha meliputi semua kawasan di dalam DUN Jepak. - Foto Bernama
Jentera GPS akan memberikan fokus kepada usaha meliputi semua kawasan di dalam DUN Jepak. - Foto Bernama
A
A
A

BINTULU - Memasuki minggu kedua tempoh kempen bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Jepak, jentera Gabungan Parti Sarawak (GPS) akan memberikan fokus kepada usaha meliputi semua kawasan di dalam DUN berkenaan.

Timbalan Presiden Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) yang juga Pengarah Pilihan Raya GPS, Jepak Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan berkata, agenda utama mereka adalah untuk memperkenalkan calon GPS kepada pengundi dan menyampaikan inti pati manifesto yang ditawarkan gabungan itu.

"Kita mahu supaya mesej sampai kepada semua kerana kita dapati kadang-kadang ada usaha kita yang baik telah diputar belit (oleh pihak lawan) termasuk dalam media sosial.

"Yang penting ialah kita mahu pengundi faham apa yang ditawarkan dalam manifesto,” katanya ketika ditemui pemberita selepas majlis perasmian Kursus Kesedaran Keusahawanan Digital di sini pada isnin.

Semalam, GPS melancarkan manifestonya untuk PRK Jepak yang mengandungi tawaran pembangunan prasarana serta sosioekonomi buat penduduk di kawasan itu.

Manifesto yang menggariskan 14 teras utama itu antara lain menawarkan pembinaan rumah mampu milik, memperbanyak skim penempatan semula dan pembesaran kampung serta baik pulih dan bantuan pembinaan rumah panjang.

PRK DUN Jepak menyaksikan pertembungan tiga penjuru antara calon GPS Iskandar Turkee, calon Parti Bumi Kenyalang (PBK) Stevenson Joseph Sumbang dan calon Parti Aspirasi Rakyat Sarawak (Aspirasi) Chieng Lea Phing.

PRK DUN Jepak pada 4 November ini diadakan susulan kematian penyandang kerusi berkenaan Datuk Talib Zulpilip pada 15 September lepas.

Artikel Berkaitan:

DUN Jepak mempunyai 22,804 pemilih yang terdiri daripada 22,761 pengundi biasa dan 43 anggota polis. Tiada pusat mengundi awal akan dibuka esok selepas Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) mengeluarkan 73 kertas undi pos kepada pemilih berdaftar yang layak termasuk anggota polis. - Bernama