PRK Jepak: Calon GPS bukan ahli parti bukan isu

Calon-calon yang akan bertanding dalam PRK bagi DUN Jepak (dari kiri) calon Parti Aspirasi Rakyat Sarawak (Aspirasi), Chieng Lea Phing, calon Gabungan Parti Sarawak (GPS), Iskandar Turkee dan calon Parti Bumi Kenyalang (PBK), Stevenson Joseph Sumbang. - Foto Bernama
Calon-calon yang akan bertanding dalam PRK bagi DUN Jepak (dari kiri) calon Parti Aspirasi Rakyat Sarawak (Aspirasi), Chieng Lea Phing, calon Gabungan Parti Sarawak (GPS), Iskandar Turkee dan calon Parti Bumi Kenyalang (PBK), Stevenson Joseph Sumbang. - Foto Bernama
A
A
A

BINTULU - Pemilihan calon bukan dalam kalangan ahli mana-mana parti dalam Gabungan Parti Sarawak (GPS) untuk mewakili gabungan itu pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Jepak bukan isu besar, kata Ketua Pergerakan Wanita Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) Jepak, Noriha Ali.

Beliau berkata, pimpinan di peringkat akar umbi serta penyokong parti menghormati keputusan dibuat Pengerusi GPS, Tan Sri Abang Johari Tun Openg.

Pemilihan bekas Pengarah Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK), Iskandar Turkee, 54, sebagai calon gabungan itu, kata beliau merupakan satu kelebihan kerana beliau mempunyai pengalaman luas dalam kegiatan sosial masyarakat.

"Menurut saya ini adalah pilihan calon yang tepat untuk kita terus menyambung legasi ditinggalkan oleh penyandang.

"Kita harapkan visi dan misi yang beliau (Iskandar) akan perjuangkan nanti akan bawa pembangunan kepada Jepak terutamanya dalam aspek pembangunan ekonomi, sosial juga kesihatan,” katanya.

Sementara itu, mengulas mengenai strategi kempen Pergerakan Wanita PBB Jepak dalam PRK itu, Noriha berkata, mereka antara lain akan mengambil pendekatan rumah ke rumah pengundi untuk memperkenalkan calon GPS.

Beliau berkata, pertambahan jumlah pengundi terutamanya dalam golongan orang muda pada PRK itu juga merupakan satu cabaran yang harus dihadapi gabungan itu.

PRK DUN Jepak menyaksikan pertembungan tiga penjuru antara Iskandar, calon Parti Bumi Kenyalang (PBK) Stevenson Joseph Sumbang dan calon Parti Aspirasi Rakyat Sarawak (Aspirasi) Chieng Lea Phing.

Artikel Berkaitan:

PRK DUN Jepak pada 4 November ini diadakan susulan kematian penyandang kerusi berkenaan Datuk Talib Zulpilip pada 15 September lepas.

DUN Jepak mempunyai 22,804 pemilih yang terdiri daripada 22,761 pengundi biasa dan 43 anggota polis.

GPS dianggotai PBB, Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP), Parti Rakyat Sarawak (PRS) dan Parti Demokratik Progresif (PDP). - Bernama