Stevenson ada sebab tersendiri bertanding di DUN Jepak
BINTULU - Calon Parti Bumi Kenyalang (PBK) Stevenson Joseph Sumbang mempunyai alasan peribadi untuk bertanding pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Jepak.
Beliau yang kehilangan isteri tercinta, Pauline Bu yang meninggal dunia selepas dua tahun menderita akibat kanser serviks menyenaraikan penubuhan pusat rawatan kanser sebagai misi utama yang akan dilaksanakan jika menang pilihan raya itu.
"Isteri saya Pauline meninggal dunia pada usia 41 tahun pada 25 Mei lepas. Kehilangannya memberikan kesan yang hebat kerana dia sentiasa berada di samping saya sepanjang pilihan raya negeri yang lepas,” katanya.
Stevenson, 42, bagaimanapun menyedari beliau berdepan tugas berat untuk memenangi hati pengundi di DUN Jepak yang majoritinya terdiri daripada Melayu/Melanau, apatah lagi berdepan calon Gabungan Parti Sarawak (GPS) Iskandar Turkee, 54.
Calon Parti Aspirasi Rakyat Sarawak (Aspirasi) Chieng Lea Phing, 64, seorang ahli perniagaan tempatan berpengaruh juga merupakan satu lagi cabaran terpaksa dihadapinya pada PRK itu yang diadakan berikutan kematian penyandangnya Datuk Talib Zilpilip pada 15 September lalu.
Stevenson berkata, beliau tidak menyangka dicalonkan semula oleh PBK selepas tewas pada penampilan pertamanya pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sarawak ke-12 dua tahun lepas.
Berdepan ahli politik berpengalaman seperti Talib yang menyandang kerusi sejak lima penggal sebelum PRN Sarawak itu, beliau tewas dan hilang wang deposit apabila sekadar mendapat 587 undi dalam pertandingan empat penjuru, berbanding Talib dengan 4,243 undi.
Pengalaman pahit itu bagaimanapun tidak melemahkan semangatnya selepas diangkat sebagai calon kerana beliau akan berusaha untuk meraih keputusan yang lebih baik terutamanya dalam kalangan pengundi muda.
"Saya mempunyai pengalaman pahit tapi ia mengajar saya untuk lebih bersedia menghadapi pilihan raya kecil ini,” katanya yang akan menggunakan pendekatan melawat rumah ke rumah selain menggunakan media sosial sebagai platform untuk berkempen. - Bernama