Zahid akhiri lawatan di UK dengan bertemu pelajar Malaysia

Zahid turut menyempurnakan Majlis Perasmian Persidangan Perniagaan Halal Dunia di UK.
Zahid turut menyempurnakan Majlis Perasmian Persidangan Perniagaan Halal Dunia di UK.
A
A
A

LONDON - Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi mengakhiri lawatan kerja tiga hari ke United Kingdom (UK) yang bermula pada 25 Oktober dengan bertemu hampir 200 pelajar Malaysia di sini.

Melalui pertemuan tersebut, Ahmad Zahid mengambil peluang menjelaskan pelbagai perkara termasuk bagaimana terbentuknya Kerajaan Perpaduan pimpinan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim, serta dasar-dasar Kerajaan Madani dan perubahan yang dibawa.

Dalam pertemuan yang turut dihadiri Pengerusi Majlis Amanah Rakyat (Mara), Datuk Asyraf Wajdi Dusuki dan Pengerusi Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (Felda), Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek, beliau turut mendengar pandangan mahasiswa, supaya kerajaan mempertimbangkan kadar elaun mereka ketika ini berbanding kos sara hidup yang kian meningkat di UK.

Ketika berucap dalam pertemuan itu, Ahmad Zahid berkata, beliau secara peribadi akan membawa perkara itu kepada Perdana Menteri untuk dipertimbangkan.

"Seperti semua sedia maklum, Mara sudah menaikkan elaun ini kira-kira 15 peratus pada tahun lalu, tetapi saya faham ia tidak cukup dengan kos sara hidup terutama di London yang semakin meningkat.

"Oleh yang demikian saya secara peribadi akan bercakap kepada Perdana Menteri, supaya mengasihani pelajar kita di luar negara dan (kadar elaun) harus diberi pertimbangan semula, bukan sahaja Mara malah (untuk pelajar tajaan) JPA (Jabatan Perkhidmatan Awam) dan Petronas,” katanya.

Terdahulu, sepanjang lawatan kerjanya, Ahmad Zahid turut menyempurnakan Majlis Perasmian Persidangan Perniagaan Halal Dunia (WHBC), di mana beliau antara lain mengumumkan komitmen lima bank di Malaysia dalam menyediakan dana pembiayaan khusus, bagi pengusaha industri Halal Malaysia.

Dalam lawatan kerjanya itu juga, beliau telah menghadiri beberapa pertemuan bersama pemimpin tempatan, diaspora dan membuat lawatan ke syarikat anak Malaysia yang beroperasi di sini.

Artikel Berkaitan:

Beliau turut mengadakan pertemuan dengan anggota House of Lords UK Lord Alexander Trees dan membincangkan mengenai kaedah pemengsanan haiwan dengan membuat perbandingan antara teknik konvensional dan prinsip amalan Halal.

Timbalan Perdana Menteri ketika menyertai bual bicara kelolaan Overseas Development Institute (ODI), sebuah badan pemikir antarabangsa yang berpengkalan di UK, pula menjelaskan mengenai hala tuju strategik Malaysia dalam pembangunan modal insan melalui bidang Pendidikan, Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET), meneroka peluang ekonomi luar bandar dan peranan modal insan dalam industi halal.

Semasa lawatan ke syarikat Chuanglee, yang merupakan rakan kongsi pilihan MATRADE semasa pelaksanaan Malaysia Kitchen Programme (2010-2016), Ahmad Zahid telah menyatakan kebanggaannya melihat kejayaan rakyat Malaysia di sini dalam sektor perniagaan pemborongan dan peruncitan, dan akan terus berusaha dan menjalinkan kerjasama bagi terus mempromosi dan mempertingkatkan bilangan produk Malaysia di UK.

Beliau turut mengadakan pertemuan dengan beberapa Ahli Parlimen UK bagi menyuarakan dan membincangkan isu berkepentingan bersama, khususnya berkaitan rakyat Palestin dan pendirian Malaysia berhubung isu berkenaan.

Selain itu Ahmad Zahid juga mengadakan pertemuan dengan Menteri Alam Sekitar, Makanan dan Hal Ehwal Luar Bandar UK Thérèse Coffey, bagi melihat potensi Kerajaan Malaysia khususnya kementerian yang naungi beliau untuk mempelajari dan melihat peluang kerjasama pada masa hadapan. - Bernama