Stesen minyak sibuk jadi sasaran

Seorang petugas KPDN Kuala Lumpur memeriksa tangki penyimpanan diesel bersubsidi negara yang cuba diseleweng oleh pihak tidak bertanggungjawab di sebuah stor haram. Gambar kecil: Ariffin
Seorang petugas KPDN Kuala Lumpur memeriksa tangki penyimpanan diesel bersubsidi negara yang cuba diseleweng oleh pihak tidak bertanggungjawab di sebuah stor haram. Gambar kecil: Ariffin
A
A
A

KUALA LUMPUR - Kesibukan stesen minyak di ibu kota pada waktu puncak rupa-rupanya dianggap sebagai ‘masa terbaik’ untuk mencuri diesel bersubsidi negara.

Dipercayai kegiatan ini dilakukan kumpulan kecil atau sindiket terdiri daripada sekurang-kurangnya empat orang melibatkan peranan pemandu lori dan penjaga stor haram.

Selain menggunakan lori bonded, kumpulan ini turut dikesan licik menggunakan lori Roll On Roll Off (RORO) yang diubah suai bagi mengaburi mata pihak penguat kuasa.

Bagi setiap sindiket, dipercayai terdapat sekurang-kurangnya lima lori bonded atau RORO yang akan pergi ke stesen-stesen minyak tersebut setiap hari seawal jam 8 pagi.

Setelah itu, diesel bersubsidi itu akan dipindahkan ke dalam lori bersaiz besar seperti kontena mahupun lori tangki bagi dijual semula kepada pihak industri yang mahu menjimatkan kos perniagaan kerana mereka menggunakan diesel yang tidak bersubsidi.

Antara cara digunakan bagi memindahkan diesel bersubsidi negara yang diseleweng, seterusnya dijual kepada pihak pengilang.
Antara cara digunakan bagi memindahkan diesel bersubsidi negara yang diseleweng, seterusnya dijual kepada pihak pengilang.

Pengarah Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Kuala Lumpur, Ariffin Samsudin berkata, kumpulan penyangak diesel beranggapan bahawa pemantauan di stesen minyak di ibu kota tidak seketat berbanding di negeri lain.

Menurutnya, kumpulan ini juga menganggap perbuatan mereka adalah lumayan kerana menjual diesel bersubsidi kepada pemain industri atau pihak pengilang dengan harga lebih murah.

Artikel Berkaitan:

“Modus operandi mereka adalah menjalankan aktiviti pembekalan dan penyimpanan diesel bersubsidi di gudang persendirian dan dibina secara haram yang terletak di kawasan terpencil bagi mengelak dikesan pihak berkuasa.

“Ada gudang yang kita serbu terletak di bawah jejambat jalan raya di mana gudang itu dipagar dengan zink bagi menyukarkan untuk diketahui apa aktiviti dilakukan di dalam.

Sekumpulan petugas KPDN Kuala Lumpur memeriksa diesel bersubsidi negara yang cuba diseleweng oleh pihak tidak bertanggungjawab.
Sekumpulan petugas KPDN Kuala Lumpur memeriksa diesel bersubsidi negara yang cuba diseleweng oleh pihak tidak bertanggungjawab.

“Kumpulan ini menjadikan gudang terlibat sebagai lokasi penyimpanan atau transit diesel kerana kedudukannya yang berada jauh dari pandangan awam,” katanya eksklusif kepada Sinar Harian baru-baru ini.

Jelas Ariffin, stor haram itu menempatkan tangki diesel, tangki skid dan peralatan pam minyak bagi tujuan pemindahan diesel bersubsidi.

Beliau berkata, diesel itu kemudian akan diedarkan kepada pihak industri terutama yang berada di negeri bersempadan dengan Kuala Lumpur atas beberapa faktor terutama kurangnya risiko ditahan serta jarak yang dekat.

Tangki tambahan diletakkan dalam sebuah lori bagi mengisi diesel bersubsidi semasa proses pengisian di stesen-stesen minyak di ibu negara.
Tangki tambahan diletakkan dalam sebuah lori bagi mengisi diesel bersubsidi semasa proses pengisian di stesen-stesen minyak di ibu negara.

Katanya, KPDN Kuala Lumpur juga tidak tolak kemungkinan diesel subsidi ini turut diseludup ke luar negara.

“Berdasarkan maklumat diperoleh, sindiket ini dipercayai membeli diesel bersubsidi pada harga RM2.15 seliter (harga terkini) sebelum dijual kepada pemain industri pada harga lebih tinggi berbanding harga ditetapkan untuk pihak industri iaitu sekitar RM3.80 seliter,” kata beliau.

Tambahnya, KPDN Kuala Lumpur percaya kumpulan-kumpulan kecil ini akan bergerak ke stesen minyak setiap hari.

Ujar Ariffin, waktu puncak antara sasaran kerana agak sukar dikesan terutama kepada pengusaha stesen minyak.

“Semakin ramai orang di sebuah stesen minyak, ia lebih bagus kepada mereka kerana akan memudahkan lagi tugas pengisian diesel bersubsidi tanpa dikesan atau disyaki,” jelas beliau.

Ujarnya lagi, berdasarkan siasatan, terdapat banyak transaksi direkodkan di sesebuah stesen minyak di mana kesemua lori yang diubah suai kumpulan terbabit akan datang secara bergilir di mana kuantiti pembelian pada setiap hari boleh mencecah 80,000 liter iaitu melibatkan jumlah pembayaran secara tunai hampir ratusan ribu ringgit.

Proses memasukkan diesel bersubsidi yang diseleweng ke dalam tangki.
Proses memasukkan diesel bersubsidi yang diseleweng ke dalam tangki.

Kata Ariffin, berdasarkan kes yang pernah disiasat sebelum ini, kumpulan terlibat mampu memperoleh antara RM40,000 hingga RM50,000 sebulan.

“Orang ramai diingatkan supaya tidak melibatkan diri dengan aktiviti berkenaan kerana ia merugikan negara kerana kehilangan hasil,” tegasnya.

Anggap bisnes mudah

Ujar beliau lagi, KPDN Kuala Lumpur percaya kumpulan ini mempunyai rangkaian dengan kumpulan yang lain.

“Mereka ini dipercayai bukan terlibat dengan mana-mana sindiket kerana jenayah mereka bukan bersifat memonopoli, sebaliknya digerakkan secara ‘sendirian’ bagi mengaut keuntungan mudah.

“Meskipun tidak terlibat dengan sindiket, namun kita percaya penyangak-penyangak kecil ini mempunyai rangkaian perniagaan sesama mereka,” dedahnya.

Kata Ariffin, punca utama diesel bersubsidi negara terus dicuri kerana jurang harga bahan bakar tersebut.

“Menerusi subsidi yang diberikan oleh kerajaan, harga bahan bakar itu jauh lebih murah daripada dibeli oleh pihak pengilang pada harga sebenar di pasaran.

“Pihak pemain industri dan pengilang dapat menjimatkan jumlah kos apabila dibeli dalam kuantiti banyak,” katanya.

Tambah beliau, KPDN Kuala Lumpur sangat memerlukan kerjasama daripada orang ramai terutama pengusaha stesen minyak untuk melaporkan sebarang perlakuan yang mencurigakan.

Sebuah lori kontena digunakan bagi mengedar diesel bersubsidi negara kepada pihak pengilang.
Sebuah lori kontena digunakan bagi mengedar diesel bersubsidi negara kepada pihak pengilang.

“Bayangkan sebuah lori bonded yang sama datang isi tangki penuh setiap hari. Adakah dia jalan jauh setiap hari? Ini yang perlu disyaki dan salurkan maklumat kepada kita.

“Maklumat dan aduan daripada orang ramai sangat penting dalam membantu usaha KPDN membasmi kumpulan penyangak yang menyeleweng diesel bersubsidi negara,” tambahnya.

Sindiket diesel kecundang

Kata beliau, KPDN Kuala Lumpur berjaya membuat serbuan ke atas lima sindiket yang berasingan melakukan penyelewengan diesel bersubsidi pada tahun ini di ibu negara.

“Setakat September, kita telah membuka tujuh kertas siasatan dengan melibatkan 11 tangkapan membabitkan warga tempatan menerusi Ops Tiris,” katanya.

Menurutnya, tangkapan tersebut melibatkan kerjasama daripada pihak PDRM dan juga berasaskan sumber risikan KPDN Kuala Lumpur sendiri.

“Ia melibatkan nilai sitaan barang kawalan berjumlah RM215,706 bagi 103,328 liter diesel, manakala anggaran keseluruhan barang rampasan sebanyak RM296,632 termasuk kenderaan,” ujarnya.

Mengulas lanjut kata Ariffin, penyelewengan diesel adalah paling banyak direkodkan di Kuala Lumpur berbanding barang subsidi lain iaitu minyak masak dan gas petroleum cecair (LPG).

Ujar beliau, bagi tempoh sama, sebanyak 13 kes penyelewengan barang bersubsidi direkodkan KPDN Kuala Lumpur melibatkan nilai rampasan berjumlah RM700,000 dan tangkapan 21 orang lelaki warga tempatan.

Tegasnya, usaha berterusan tetap dilakukan dengan pihak KPDN Kuala Lumpur menyerbu stor-stor haram menyimpan bahan bakar tersebut menerusi risikan-risikan dijalankan.

Stor haram dijadikan tempat penyimpanan diesel bersubsidi diserbu pihak KPDN KL bagi menyimpan diesel subsidi diseleweng di Jalan Pasir Baru, Kuala Lumpur baru-baru ini.
Stor haram dijadikan tempat penyimpanan diesel bersubsidi diserbu pihak KPDN KL bagi menyimpan diesel subsidi diseleweng di Jalan Pasir Baru, Kuala Lumpur baru-baru ini.

“Bukan diesel bersubsidi sahaja perlu diberi perhatian, sebaliknya kita mempunyai banyak perkara yang perlu diberi keutamaan iaitu melibatkan 12 akta secara keseluruhannya.

“Ia termasuk salah guna melibatkan jualan langsung, francais, proses sewa beli serta mengawal selia bahan kawalan negara.

“Oleh sebab itu, kita cuba sebaik mungkin untuk memanfaatkan sumber tenaga dan aset yang ada bagi memastikan tiada sebarang penyelewengan berlaku,” ujarnya.

Ditanya sama ada pegawai atau anggota berdepan ugutan daripada pihak sindiket, Ariffin berkata, pihaknya setakat ini belum menerima sebarang ugutan apabila melaksanakan tugas diamanahkan.

Kerjasama agensi penguat kuasa lain banteras sindiket

Sementara itu, Ariffin berkata, operasi bersepadu turut dilaksanakan bersama agensi penguat kuasa lain dalam membanteras kegiatan penyelewengan bahan bersubsidi negara iaitu diesel.

Kata beliau, gerak kerja bersepadu itu dilaksanakan menerusi pasukan petugas Ops Tiris yang telah ditubuhkan pada 1 Mac 2023.

Jelasnya, ia melibatkan Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) serta Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia).

“KPDN bertindak sebagai agensi peneraju bagi penubuhan pasukan petugas tersebut.

“Operasi ini bertujuan memastikan diesel bersubsidi sampai kepada pihak yang layak menerimanya dan dapat dinikmati oleh rakyat Malaysia,” ujarnya.

Tambah beliau, bagi Ops Tiris di Kuala Lumpur, terdapat juga kes yang berjaya dikesan menerusi unit peronda trafik polis.

“Setelah ditahan dan dilakukan pemeriksaan ke atas lori yang mencurigakan oleh unit peronda trafik mendapati terdapat tangki tambahan diesel yang diubah suai.

Sebuah lori kontena disita pihak KPDN Kuala Lumpur kerana dipercayai digunakan bagi mengedar diesel bersubsidi negara kepada pihak pengilang.
Sebuah lori kontena disita pihak KPDN Kuala Lumpur kerana dipercayai digunakan bagi mengedar diesel bersubsidi negara kepada pihak pengilang.

“Bagi kes penyimpanan barangan bersubsidi ini, serbuan terus dilakukan oleh Pasukan Gerakan Am (PGA) dan Cawangan Perisikan dan Siasatan Khas (CPSK) di bawah PDRM sebelum serahan kes kepada KPDN,” ujar Ariffin.

Tambahnya, menerusi Ops Tiris Fasa 2.0, perluasan skop siasatan yang lebih menyeluruh meliputi rantaian bermula daripada sumber pembelian bekalan sehingga kepada pembelian haram atau illicit buyer.

Tegas beliau, skop siasatan lebih menyeluruh itu bertujuan mendapatkan gambaran terperinci berhubung keseluruhan rantaian pasaran gelap termasuk minyak diesel yang disyaki turut melibatkan pihak sindiket.

Katanya lagi, selain tindakan di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961, siasatan juga dibuat mengikut Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001 (AMLATFAPUAA).