Seleweng diesel bersubsidi, 13 termasuk warga Myanmar ditahan

Zaidy (kiri) menunjukkan kenderaan yang disyaki digunakan dalam kegiatan penyelewengan minyak diesel.
Zaidy (kiri) menunjukkan kenderaan yang disyaki digunakan dalam kegiatan penyelewengan minyak diesel.
A
A
A

SUNGAI PETANI - Kegiatan pemindahan diesel pada waktu tengah malam, antara modus operandi terbaharu dikesan dilakukan Geng Tikus membabitkan penyelewengan bahan api bersubsidi berkenaan.

Ketua Polis Daerah Kuala Muda, Asisten Komisioner Zaidy Che Hassan berkata, ia berdasarkan hasil risikan yang dilakukan ke atas sebuah premis di Kawasan Perindustrian Miel Bukit Makmur Sungai Lalang dan dua stesen minyak berdekatan serta taman perumahan di Laguna Merbok yang mendapati pembelian diesel dilakukan pada tengah malam.

Menurutnya, dalam Op Penyeludupan Minyak Diesel Bersubsidi (Subdi) antara jam 1 hingga 5.30 petang Isnin, seramai 13 individu berumur 35 hingga 49 tahun ditahan termasuk tiga warga Myanmar bersama 74,600 liter minyak diesel bernilai RM162,628.

Seramai 13 individu ditahan dalam Op Subdi pada Isnin.
Seramai 13 individu ditahan dalam Op Subdi pada Isnin.

"Dalam operasi ini, sebanyak dua buah treler, lapan buah lori kecil, sebuah kereta pacuan empat roda, dua tangki berkapasiti 20,000 litter serta peralatan menyeleweng dirampas.

"Kesemua barangan tersebut disita termasuk minyak diesel dan nilai rampasan keseluruhan dianggarkan berjumlah RM459,628," katanya.

Jelas Zaidy, kesemua rampasan dibawa ke stor Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) di Tunjang, Jitra, Kedah.

Beliau menjelaskan, sindiket terbabit membeli minyak diesel bersubsidi di stesen minyak sekitar Kuala Muda menggunakan lori jenis satu tan dan tiga tan yang telah diubah suai.

Artikel Berkaitan:

"Aktiviti membeli minyak ini dijalankan 24 jam setiap hari di mana lori terbabit akan kembali ke gudang tersebut untuk memindahkan diesel ke dua buah tangki berkapasiti 20,000 liter sebelum dipindahkan ke lori kontena dengan kapasiti 42,000 liter setiap lori.

Kenderaan yang disyaki digunakan dalam penyelewengan minyak diesel bersubsidi.
Kenderaan yang disyaki digunakan dalam penyelewengan minyak diesel bersubsidi.

"Minyak diesel ini dipercayai akan dijual di berapa lokasi di stor minyak sempadan Malaysia Thailand," katanya.

Kesemua individu, kenderaan dan peralatan disita oleh KPDN Negeri Kedah kerana kenderaan tersebut disyaki terlibat dengan aktiviti penyelewengan minyak diesel bersubsidi dan telah melanggar Akta Kawalan Bekalan 1961.

Seramai sembilan individu iaitu pemandu lori dibebaskan dengan jaminan polis manakala empat lagi individu termasuk pemilik premis dan warga Myanmar direman selama dua hari bagi membantu siasatan.

Kesemua warga Myanmar itu akan turut disiasat mengikut Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63.