Pemandu, kelindan lori seleweng diesel bersubsidi ditahan

Lori yang digunakan kedua-dua suspek untuk mengisi minyak diesel bersubsidi.
Lori yang digunakan kedua-dua suspek untuk mengisi minyak diesel bersubsidi.
A
A
A

BUKIT MERTAJAM - Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Pulau Pinang menyita 4,000 liter minyak diesel bersubsidi dalam satu serbuan di sebuah stesen minyak di Lebuhraya Utara Selatan berhampiran Permatang Pauh, di sini pada Isnin

Serbuan melalui Op Tiris pada jam 12.30 tengah hari berjaya membawa kepada tangkapan seorang pemandu lori dan seorang kelindan berusia 20-an.

Pengarah KPDN Pulau Pinang, RS Jegan berkata, serbuan dibuat hasil maklumat dan aduan orang awam sebelum pihaknya berjaya menjejaki lori berwarna putih berat tanpa muatan (BTM) 3.27 tan yang mencurigakan sedang mengisi minyak diesel.

Menurutnya, pemeriksaan lanjut Lori jenama Ford tersebut mempunyai satu unit tangki simpanan fiberglass yang berkapasiti 6,000 liter yang yang digunakan untuk mengisi minyak diesel.

"Hasil pemeriksaan mendapati pemandu lori tersebut menggunakan lori bagi tujuan penyelewengan dengan membeli minyak diesel di sekitar menggunakan kad kredit.

"Selain itu, terdapat minyak diesel dengan anggaran sebanyak 4,000 liter telah ditemui di dalam tangki tersebut," katanya dalam satu kenyataan di sini, pada Selasa.

Jegan berkata, pihaknya merampas lori, minyak diesel, motor pump, tangki tambahan, hose set dan dua unit telefon bimbit daripada kedua-dua suspek yang mana nilai keseluruhan rampasan berjumlah RM35,500.

Beliau berkata, kes disiasat di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961 yang memperuntukkan hukuman penalti sehingga RM1 juta atau penjara selama tiga tahun atau kedua-duanya sekali bagi kesalahan pertama

Artikel Berkaitan:

Katanya, bagi kesalahan kedua dan seterusnya denda tidak melebihi RM3 juta atau penjara tidak melebihi lima tahun atau kedua-duanya.

Dalam pada itu, Jegan turut memberi amaran kepada orang ramai agar tidak menyalahgunakan barang kawalan bersubsidi dan akan diambil tindakan tegas sekiranya perbuatan mereka dapat dikesan.

Beliau turut mengalu-alukan kerjasama masyarakat untuk menyalurkan maklumat berhubung aktiviti penyelewengan barang kawalan bersubsidi.