PM sentiasa utamakan agenda pemerkasaan masyarakat India - Ramanan

Ramanan. Foto Bernama
Ramanan. Foto Bernama
A
A
A

PUTRAJAYA - Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim sentiasa mengutamakan agenda 'Pemerkasaan Masyarakat India' seiring dengan proses pembangunan negara, kata Timbalan Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Datuk R Ramanan.

Beliau mengakui bahawa perdana menteri cukup komited untuk menjayakan misi berkenaan dan kerajaan Madani tidak pernah meminggirkan mana-mana kaum.

Namun menurutnya, ada pihak-pihak tertentu masih memainkan sentimen 'politik kebencian' mendakwa perdana menteri bersikap sebaliknya.

Beliau menganggap kumpulan ini sebagai 'desperado' yang melakukan fitnah dengan membangkitkan dakwaan sedemikian, yakni satu penipuan dengan niat dengki dan sengaja mahu membangkitkan kemarahan komuniti India.

"Kita perlu berwaspada. Yang pasti kita perlu memastikan agenda pemerkasaan kaum India terjamin. Itulah juga "pegangan dan prinsip" saya selaku Timbalan Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi," katanya kepada media selepas merasmikan Program ‘Sure Heboh’ di sini pada Ahad.

Ramanan berkata, Jumaat lepas beliau mengumumkan RM100,000 geran diluluskan untuk manfaat Koperasi Pengusaha Restoran India Berhad (KOPRIMAS) di bawah Program Pengukuhan Koperasi di bawah Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM).

Menurutnya, baru-baru ini beliau juga mengumumkan dana tambahan RM30 juta melalui Skim Pembiayaan Pemerkasaan SPUMI (SPUMI Goes Big) dan Dana Khas Pemerkasaan Wanita India (PENN) RM50 juta daripada Amanah Ikhtiar Malaysia (AIM) yang bakal memanfaatkan lebih 10,000 usahawan wanita India.

Beliau berkata, semua inisiatif untuk usahawan masyarakat India ini tidak akan dapat direalisasikan tanpa mandat daripada perdana menteri.

Artikel Berkaitan:

Ramanan berkata, tidak wajar sesetengah pihak mendakwa Anwar tidak membuat apa-apa terutamanya terhadap komuniti itu, dan menurutnya dakwaan itu dilakukan oleh segelintir ahli politik yang tidak berjawatan. - Bernama

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!