Op Tiris: Lori disyaki seleweng diesel, isi minyak kuantiti besar

Lori yang disyaki membawa diesel bersubsidi turut disita. Gambar kecil: Tangki IBS yang ditemui dalam lori berkenaan - Foto: KPDN NS
Lori yang disyaki membawa diesel bersubsidi turut disita. Gambar kecil: Tangki IBS yang ditemui dalam lori berkenaan - Foto: KPDN NS
A
A
A

SEREMBAN - Tindakan sebuah lori mengisi diesel dengan kuantiti yang besar membongkar kegiatan penyelewengan minyak bersubsidi itu dalam Ops Tiris di stesen minyak Lebuhraya Kuala Lumpur-Seremban (arah Selatan) pada Jumaat.

Pengarah Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Negeri Sembilan, Muhammad Zahir Mazlan berkata, operasi pada jam 11.10 malam itu dilakukan hasil pemantauan serta pemerhatian yang dibuat oleh pasukan serbuan di stesen minyak terbabit.

"Tindakan pemandu lori iaitu seorang lelaki tempatan berusia 43 tahun yang membuat pengisian minyak diesel dalam jumlah yang besar membawa kepada penemuan empat unit tangki IBC di dalam lori terbabit semasa pemeriksaan.

"Pemeriksaan menyeluruh ke atas lori mendapati dua daripada empat unit tangki IBC di dalam lori terbabit mengandungi minyak diesel," katanya dalam satu kenyataan pada Sabtu.

Muhammad Zahir berkata, pihaknya kemudiannya merampas 2,000 liter diesel bersubsidi dianggarkan RM4,300 dipercayai diseleweng dalam serbuan berkenaan.

"Turut disita dalam serbuan terbabit, sebuah lori, motor pam serta hos dan empat unit tangki IBC yang menjadikan keseluruhan nilai rampasan berjumlah RM15,700.

"Pemandu lori terbabit telah ditahan kerana disyaki telah berurusan dengan barang kawalan berjadual tanpa lesen atau permit yang sah dan melanggar Seksyen 21 Akta Kawalan Bekalan 1961 serta Peraturan 3(1) Peraturan-Peraturan Kawalan Bekalan 1974," katanya.

Ujarnya, satu kertas siasatan telah dibuka dan siasatan lanjut ke atas kes ini sedang dilakukan di bawah Akta Kawalan Bekalan, AKB1961 bagi mengenal pasti individu atau syarikat yang terlibat dalam aktiviti ini serta rantaian pengedaran minyak diesel terbabit.

Artikel Berkaitan:

"KPDN Negeri Sembilan akan konsisten menggerakkan tindakan penguatkuasaan serta tidak akan berkompromi dalam menguatkuasakan undang-undang di bawah KPDN.

"Ia khususnya dalam membanteras ketirisan dan penyelewengan barang kawalan diesel bagi memastikan aktiviti haram yang boleh menyebabkan kerugian besar kepada rakyat dan negara ini dapat dibanteras sehingga ke akar umbi," katanya.