Usaha Malaysia bangunkan sektor EV antara dibahas di Dewan Rakyat

Adnan Abu Hassan - Foto Bernama
Adnan Abu Hassan - Foto Bernama
A
A
A

KUALA LUMPUR - Usaha membangunkan sektor kenderaan elektrik (EV) di Malaysia antara yang dibahaskan Ahli Parlimen pada sesi perbahasan Rang Undang-undang Perbekalan 2024, di Dewan Rakyat pad Khamis.

Pada hari terakhir perbahasan rang undang-undang itu di peringkat dasar, Datuk Adnan Abu Hassan (BN-Kuala Pilah) mencadangkan Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) membenarkan EV yang berharga bawah RM100,000 diimport.

Cadangan itu bagi memastikan golongan B40 dan M40 turut berpeluang membeli dan memiliki kenderaan itu sekali gus menjana ekonomi negara.

"Apabila ada pengenalan EV, tentu banyak subsektor yang harus difikirkan dan MITI wajar kaji semula dasar hanya membenarkan penjualan EV ini pada harga RM100,000 ke atas kerana ini seolah hanya mengutamakan golongan T20 untuk memiliki EV.

"Harus diingatkan kereta ini menikmati pengecualian cukai import dan cukai eksais, oleh itu pengecualian cukai ini harus dinikmati oleh golongan B40 dan M40 juga. Apabila lebih ramai rakyat diberikan peluang memiliki kereta elektrik ini, dengan pengurangan harga kereta itu, sudah pasti ia akan menjana ekonomi negara,” katanya.

Menyentuh perkara sama, Datuk Seri Amirudin Shari (PH-Gombak) mencadangkan kerajaan membenarkan pasaran terbuka kepada kawalan sumber tenaga negara sebagai usaha memastikan keperluan sumber itu mencukupi bagi penggunaan ekosistem EV di negara ini.

Amirudin Shari - Foto Bernama
Amirudin Shari - Foto Bernama

Amirudin yang juga Menteri Besar Selangor berkata, ini kerana, ekosistem EV memerlukan penggunaan tenaga elektrik yang tinggi antaranya melibatkan pengecasan atau supercaj dengan pembangunan substesen tenaga.

Artikel Berkaitan:

"Jadi kita ambil contoh seperti yang negara lain amalkan, kita benarkan pasaran terbuka dengan kawalan, mungkin empat lima pemain industri dalam satu masa agar dapat membekalkan keperluan tenaga yang mencukupi,” katanya.

Beliau turut mencadangkan kementerian berkaitan dan Suruhanjaya Tenaga menyalurkan cadangan anggaran keperluan tenaga kepada semua negeri melibatkan perincian lokaliti supaya perancangan bagi pembangunan urbanisasi dan perindustrian dapat dilakukan lebih rapi pada masa akan datang.

Dalam pada itu, Datuk Matbali Musah (Sipitang-GRS) mencadangkan agar kerajaan melihat potensi pembangunan jaringan kereta api Trans-Borneo yang menghubungkan Sabah dan Sarawak dengan Kalimantan, Indonesia.

Beliau berkata projek Trans-Borneo yang menghubungkan kawasan 'pusat pertumbuhan' di Sabah dan Sarawak itu dapat meningkatkan pelaburan jangka masa panjang sekali gus memberi pulangan besar kepada negara melalui intergrasi ekonomi antara wilayah Sabah, Sarawak, Brunei dan Kalimantan.

"Setakat ini, Indonesia sedang giat membina laluan kereta api sepanjang 2,428 kilometer bagi menghubungkan bandar-bandar di kawasan pelabuhan utama Kalimantan, tetapi di sebelah kita belum bergerak. Bilakah akan dimulakan pembinaan pembangunan di kawasan sempadan di sebelah kita (Sabah dan Sarawak)?," katanya.

Selain itu, isu Palestin turut disentuh tiga Ahli Parlimen yang berbahas hari ini iaitu Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein (BN-Sembrong), Datuk Ahmad Amzad Hashim (PN-Kuala Terengganu) dan Datuk Matbali Musah (GRS-Sipitang).

Hishammuddin antara lain mencadangkan agar Malaysia bersama-sama semua negara yang sependapat menyatakan dengan jelas mengenai keperluan kepada gesaan gencatan senjata dengan segera agar krisis itu tidak berlarutan menjadi perang lebih besar dan memberi kesan melangkaui Israel dan Palestin.

Ahmad Amzad pula menyatakan sokongan kepada pendekatan dan usaha berterusan yang diambil kerajaan dalam membantu rakyat Palestin meneruskan perjuangan mereka manakala Matbali berharap masyarakat antarabangsa segera bangkit untuk bersama-sama menghentikan segala bentuk kekejaman dan penindasan terhadap rakyat Palestin.

Sebelum menutup persidangan hari ini, Timbalan Yang Dipertua Dewan Rakyat, Datuk Ramli Mohd Nor mengucapkan terima kasih kepada 162 Ahli Parlimen kerajaan dan pembangkang yang menyertai perbahasan rang undang-undang itu selama lapan hari.

Pada minggu hadapan, sesi jawapan akan diadakan oleh menteri selama empat hari bermula 30 Oktober, seterusnya diikuti perbahasan rang undang-undang berkenaan di peringkat jawatankuasa selama 12 hari bermula 6 November.

Persidangan bersambung Isnin. - Bernama