Ahli Parlimen Kuala Kangsar umum sokong Perdana Menteri

Iskandar Dzulkarnain
Iskandar Dzulkarnain
A
A
A

SHAH ALAM - Ahli Parlimen Kuala Kangsar, Datuk Iskandar Dzulkarnain Abdul Khalid membuat keputusan untuk menyokong pimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkuat kuasa pada Khamis.

Menurut wakil rakyat daripada Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) itu, pendekatan tersebut diambil setelah meneliti rintihan berterusan pengundi dan menitikberatkan keperluan mendesak untuk menangani masalah krisis kenaikan kos sara hidup yang melanda kawasannya.

"Keputusan saya juga bertujuan menilai sama ada Perdana Menteri (Anwar) adalah ikhlas dan akan mengotakan janjinya bahawa peruntukan akan disalurkan kepada sesiapa ahli parlimen yang menyokong dasar-dasar Kerajaan Perpaduan.

"Saya percaya ekonomi negara perlu ditingkatkan demi kemakmuran negara dan kesejahteraan rakyat. Oleh yang demikian, saya menyokong Perdana Menteri atas apa-apa usaha yang dilakukan untuk mengukuhkan ekonomi negara," katanya dalam satu kenyataan pada Khamis.

Tegas Iskandar Dzulkarnain, meskipun membuat keputusan untuk menyokong kepimpinan kerajaan ketika ini, namun beliau tidak akan tinggalkan apatah lagi khianati Bersatu dalam apa jua keadaan atas prinsip taat dan setia kepada parti.

Malah, beliau dalam masa sama juga bersedia dengan sebarang kemungkinan termasuk berdepan dengan risiko sebarang tindakan disiplin oleh partinya.

Ini kerana katanya, beliau tidak sanggup melihat pengundi di kawasannya terus terbiar dan ketinggalan hanya semata-mata kerana perbalahan naratif politik.

"Saya dengan ini mengambil keputusan untuk menyokong inisiatif inisiatif kerajaan dalam hal-hal yang mengutamakan kebajikan rakyat negara ini, sehingga pilihan raya umum (PRU) yang seterusnya.

Artikel Berkaitan:

"Semoga ALLAH senantiasa memberkati Malaysia dan rakyatnya," katanya.

Pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) lalu, Iskandar Dzulkarnain yang bertanding atas tiket Perikatan Nasional (PN) menang di kerusi Parlimen Kuala Kangsar dengan majoriti 3,566 undi.

Beliau bersaing empat penjuru menewaskan calon dari Barisan Nasional (BN), Datuk Maslin Sham Razman (10,814 undi); calon Pakatan Harapan (PH), Ahmad Termizi Ramli (10,356 undi) dan calon parti Pejuang, Yusmalia Mohamad Yusof yang memperoleh 204 undi.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!