[ VIDEO] Dadah lebih RM2.1 juta dilupuskan

A
A
A

IPOH - Polis Perak melupuskan pelbagai jenis dadah bernilai lebih RM2.1 juta hasil rampasan dan operasi sejak tahun 2007 hingga kini.

Timbalan Ketua Polis Perak, Datuk Azizi Mat Aris berkata, semua barang kes dan dadah terbabit membabitkan 3,706 kertas siasatan yang telah selesai perbicaraan di mahkamah.

Menurutnya, proses pelupusan eksibit berkenaan dilakukan syarikat Kualiti Alam Hijau (M) Sdn Bhd di Bukit Pelanduk, Negeri Sembilan.

"Semua 15 daerah terlibat dalam pelupusan ini dengan masing-masing mempunyai rampasan barang kes hasil kejayaan operasi dijalankan.

"Antara dadah dilupuskan termasuklah heroin seberat 4.57 kilogram (kg), ganja (7.59 kg), syabu (2.61 kg), ketamin (76.98 gram), yaba, pil khayal, pil eramin 5, daun ketum (529 kg) dan cecair ubat batuk (1.9 liter)," katanya dalam sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Perak di sini pada Khamis.

Azizi (tengah) menunjukkan pelbagai jenis dadah hasil rampasan dan operasi sejak tahun 2007 hingga kini.
Azizi (tengah) menunjukkan pelbagai jenis dadah hasil rampasan dan operasi sejak tahun 2007 hingga kini.



Beliau berkata, sepanjang tempoh Januari hingga September tahun ini, Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Perak berjaya membuat tangkapan ke atas 10,578 pesalah dadah.

Katanya, bagi tangkapan pengedaran dadah, berlaku peningkatan sebanyak 23 kes iaitu 1,891 orang berbanding 1,868 orang dalam tempoh sama tahun lalu.

"Kebanyakan mereka yang ditahan merupakan dalang atau perancang dalam sindiket yang telah ditumpaskan yang mana 559 orang ditahan di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 membawa hukuman mati manakala 76 orang di bawah Langkah-Langkah Pencegahan Khas 1985," katanya.

Artikel Berkaitan:

Azizi (tengah) memeriksan rampasan dadah yang dihantar untuk tujuan pelupusan sempena sidang akhbar di IPK Perak pada Khamis.
Azizi (tengah) memeriksan rampasan dadah yang dihantar untuk tujuan pelupusan sempena sidang akhbar di IPK Perak pada Khamis.

Azizi berkata, tangkapan memiliki dadah turut merekodkan peningkatan sebanyak tujuh peratus kepada 8,611 orang.

"Kes melibatkan pengedaran dan memiliki ini telah menghasilkan rampasan dadah berjumlah RM49 juta dengan dadah jenis erimin 5, heroin dan syabu merupakan rampasan tertinggi di negeri ini," katanya.

Dalam perkembangan sama, beliau berkata, dalam tempoh sembilan bulan pertama ini, JSJN telah membongkar operasi lapan makmal haram di seluruh negeri dan menahan 21 orang.

Katanya, bagi tindakan perundangan pula, sebanyak 5,117 kertas siasatan telah dibuka di bawah Akta Dadah Berbahaya dan Akta Racun dan daripada jumlah itu, 96 peratus iaitu 4,908 kertas siasatan telah dituduh.

"Sitaan harta di bawah Akta Perlucutan Harta 1988 merekodkan RM7.5 juta melibatkan rampasan harta benda termasuk rumah, tanah, barang kemas, kenderaan dan akaun dalam bank," katanya.