Polis Kedah bongkar makmal mini dadah

Mohd Taufik menunjukkan sebahagian dadah dirampas di makmal mini dadah di Sungai Petani, Kedah pada Ahad.
Mohd Taufik menunjukkan sebahagian dadah dirampas di makmal mini dadah di Sungai Petani, Kedah pada Ahad.
A
A
A

JITRA - Polis berjaya membongkar kegiatan makmal mini memproses dadah di sebuah rumah di Jalan Bukit Puteri, Bandar Puteri Jaya di Sungai Petani, dekat sini, susulan penahanan dua lelaki pada Khamis.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Kedah, Asisten Komisioner Mohd Taufik Maidin berkata, dua penganggur itu ditahan di tepi jalan Kampung Gelong Rambai, Padang Limau, mukim Tunjang, Jitra.

Beliau berkata, mereka yang menaiki sebuah kereta jenis Perodua Myvi ditahan sepasukan pegawai dan anggota polis dari Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Daerah (BSJND) Kubang Pasu yang bertindak atas makluman awam.

"Hasil pemeriksaan di tempat duduk penumpang bahagian belakang telah menjumpai sebuah beg kertas, yang mana dalamnya mengandungi dadah pelbagai saiz disyaki heroin anggaran berat 4.6 kilogram (kg)

"Hasil soal siasat telah membawa pasukan serbuan ke sebuah rumah disyaki dijadikan mini lab tempat memproses dadah sejak September lepas di Sungai Petani," katanya.

Beliau berkata sedemikian kepada pemberita dalam sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kubang Pasu di sini pada Ahad.

Hadir sama, Ketua Polis Daerah Kubang Pasu, Superintenden Rodzi Abu Hassan.

Menurut beliau, hasil pemeriksaan rumah dengan disaksikan kedua-dua suspek telah menemukan dadah termasuklah satu peket lut sinar mengandungi 22 biji pil disyaki yaba anggaran berat 2.47 gram (g).

Artikel Berkaitan:

"Antara lain, satu plastik lut sinar mengandungi dadah jenis disyaki kafein anggaran berat 307g dan satu plastik warna merah mengandungi dadah jenis disyaki kafein anggaran berat 659g.

"Turut ditemui satu bekas plastik warna merah mengandungi dadah disyaki heroin anggaran berat 6.7kg dan lima bungkusan plastik mengandungi ketulan mampat disyaki dadah jenis ganja anggaran berat 5.08kg," katanya.

Mohd Taufik memaklumkan, pemeriksaan lanjut berjaya menemukan peralatan-peralatan dipercayai digunakan untuk memproses dadah di makmal dadah itu.

Sehubungan itu, pihaknya merampas beberapa peralatan seperti satu tukul besi, satu peket lut sinar berisi peket plastik lut sinar kosong, sebilah gunting besi, sealer elektronik, dapur elektrik, alat penimbang digital warna putih, alat penapis, besen aluminium, senduk kayu dan bekas plastik lut sinar.

Selain itu, beliau menambah, polis turut merampas satu cawan plastik lut sinar, sebilah pisau, dua botol plastik lut sinar yang telah dipotong, satu bekas garam laut, satu balang kaca berpenutup warna merah yang berisi cecair bahan kimia, satu balang kaca berpenutup warna hitam yang berisi cecair bahan kimia dan sebuah meja kayu.

Kata beliau, hasil saringan ke atas suspek pertama berusia 53 tahun dari Air Itam, Pulau Pinang itu didapati positif dadah jenis morfin dan memiliki sembilan rekod lampau berkaitan narkotik.

"Ujian saringan ke atas suspek berusia 36 tahun dari Sungai Petani, Kedah juga menunjukkan keputusan positif dadah jenis morfin dan mempunyai empat rekod jenayah narkotik," katanya.

Mohd Taufik memberitahu, modus operandi kedua-dua suspek adalah dadah dipercayai diproses di makmal di Sungai Petani dan untuk pasaran Jitra.

Menurut beliau lagi, salah seorang suspek dipercayai memiliki pengetahuan untuk memproses dadah, bagaimanapun semuanya masih dalam siasatan pihak polis.

Dengan penahanan dua lelaki itu, jelas Mohd Taufik, pihaknya merampas pelbagai jenis dadah dengan nilai rampasan dadah RM71,500 yang boleh digunakan oleh kira kira 30,000 orang penagih.

Menurut Mohd Taufik, kedua-dua tangkapan kini ditahan reman di lokap IPD Kubang Pasu untuk siasatan lanjut sehingga 26 Oktober ini.

Beliau menyifatkan kejayaan kes terbabit adalah hasil usaha berterusan JSJN Kedah dan juga maklumat daripada orang awam dalam memastikan aktiviti penyeludupan dan pengedaran dadah berbahaya berjaya ditumpaskan.

Beliau berkata, pihak polis turut memerlukan kerjasama serta penglibatan masyarakat dalam menyalurkan sebarang maklumat berkaitan aktiviti dadah bagi menangani masalah penyalahgunaan bahan terlarang tersebut di Kedah.