Mangsa korban di Gaza dikebumi dalam keadaan menyayat hati - Mapim

Seorang wanita ditenangkan oleh saudaranya sewaktu mengenal pasti mayat kakaknya yang terkorban dalam bedilan roket rejim Zionis di timur Genting Gaza. Foto AFP (Gambar kecil: Mohd Azmi)
Seorang wanita ditenangkan oleh saudaranya sewaktu mengenal pasti mayat kakaknya yang terkorban dalam bedilan roket rejim Zionis di timur Genting Gaza. Foto AFP (Gambar kecil: Mohd Azmi)
A
A
A

SUNGAI PETANI - Jumlah kematian yang meningkat setiap hari di Gaza akibat kekejaman Zionis menyebabkan ruang tanah perkuburan di Gaza juga semakin terhad dan jenazah terpaksa dikebumikan dalam keadaan menyayat hati.

Presiden Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (Mapim) Mohd Azmi Abdul Hamid berkata, serangan ke atas bumi Gaza menyebabkan ratusan orang terkorban setiap hari dan digambarkan seolah-olah sebagai 'neraka dunia'.

Menurutnya, mangsa yang meninggal dunia terpaksa dikebumikan di perkuburan massal yang terisi jenazah lebih dari satu yang tidak dikenali disebabkan terlalu ramai meninggal dunia.

"Ada yang dikebumikan di perkuburan massal sekali dalam satu liang lahad sampai 200 orang dan ada yang masing-masing melakukan sendiri.

"Saya ada kenalan, dia sendiri bawa mayat anak dia masukkan dalam van melarikan diri, nak cari tempat kebumi dah tak sanggup, jadi ambil keputusan singgah di satu kawasan lapang, digali tanah tepi itu untuk letak mayat anak dia, itulah situasi paling menyayat hati," katanya.

Beliau ditemui media ketika hadir ke Program Cakna Komuniti Sekolah Kebangsaan Aman Jaya di sini pada Rabu.

Warga Sekolah Kebangsaan Aman Jaya menunjukkan solidariti terhadap Palestin sempena Program Cakna Komuniti pada Rabu.
Warga Sekolah Kebangsaan Aman Jaya menunjukkan solidariti terhadap Palestin sempena Program Cakna Komuniti pada Rabu.

Jelasnya, gambaran kemusnahan di Palestin sangat mendukacitakan di mana keselamatan dan nasib kanak-kanak serta wanita turut terancam.

Artikel Berkaitan:

"Keadaan di sana orang panggil 'neraka dunia' ertinya tidak ada satu inci pun kawasan di Gaza adalah selamat kerana semua kawasan selamat telah dibom termasuk hospital, sekolah, masjid, gereja dan kediaman.

"Bayangkan tidak ada apa lagi yang boleh dipertahankan di Gaza melainkan mereka telah buat keputusan berada di sana, Israel suruh keluar tetapi mereka nak mati di sana untuk pertahankan tanah Palestin, itulah tekad mereka," katanya.

Dalam majlis sama, Mohd Azmi turut menerima sumbangan dari warga sekolah sebagai kutipan membantu rakyat Palestin.

"Sekarang bantuan serta-merta yang diperlukan ialah air, makanan, ubatan dan pakaian kerana nak masuk musim sejuk, ketika ini mereka juga kehilangan kediaman nak bekalkan khemah sementara.

"Pastinya kain kapan tidak mencukupi setidak-tidaknya perlu ada untuk tutup jenazah tetapi keadaan sangat kritikal dan kita memang akan membekalkan sebanyak mungkin kain kapan," jelasnya.

Menurut Mohd Azmi, sebanyak 40 tan bekalan barangan telah dikumpulkan dan akan dihantar ke Gaza dengan bantuan kerajaan Malaysia selain menyasarkan sehingga 100 tan bekalan akan dibekalkan.

"Kita mendapat kerjasama kerajaan melalui Kementerian Pertahanan menggunakan kapal terbang hantar dan sampai di sana, kita akan sewa trak untuk bergilir masuk, ini akan berlaku dalam seminggu ini.

"Sebuah penerbangan akan mendarat di Kaherah, dan satu lagi di El Arish dekat dengan sempadan, dalam satu jam ke sempadan Rafah yang telah dibuka, itu yang lebih praktikal namun oleh kerana penerbangan terlalu banyak kita menunggu masanya sedang berkoordinasi dengan Wisma Putra dan Kerajaan Malaysia," katanya.

Mohd Azmi menjelaskan, Mapim menyasarkan jumlah kutipan sumbangan sebanyak RM25 juta, Oktober ini, bagaimanapun, bagi proses pembinaan semula infrastruktur, kediaman dan sebagainya ia memerlukan tidak kurang dari $ASD2 bilion.

Beliau menambah, sekiranya kehancuran bertambah, nilai yang diperlukan juga akan lebih bertambah.