Ambil pendekatan menyeluruh tangani isu kewarganegaraan - Suhakam

Kerajaan perlu mengambil pendekatan secara menyeluruh dengan menjalankan kajian komprehensif mengenai kesan pindaan isu kewarganegaraan kanak-kanak yang dilahirkan di luar negara oleh ibu warganegara Malaysia. - Gambar hiasan
Kerajaan perlu mengambil pendekatan secara menyeluruh dengan menjalankan kajian komprehensif mengenai kesan pindaan isu kewarganegaraan kanak-kanak yang dilahirkan di luar negara oleh ibu warganegara Malaysia. - Gambar hiasan
A
A
A

SHAH ALAM - Kerajaan perlu mengambil pendekatan secara menyeluruh dengan menjalankan kajian komprehensif mengenai kesan pindaan isu kewarganegaraan kanak-kanak yang dilahirkan di luar negara oleh ibu warganegara Malaysia.

Menurut Suruhanjaya Hak Asasi Manusia (Suhakam), ciri-ciri setiap pindaan yang berbeza itu wajar dipertimbangkan dengan teliti.

“Selain itu, rundingan dengan pelbagai pihak berkepentingan perlu diadakan termasuk organisasi masyarakat sivil, pakar dalam bidang hak kanak-kanak dan isu tanpa kewarganegaraan.

“Suhakam berpandangan, kuat kuasa undang-undang dan pindaan regresif lain yang mengehadkan serta mengekalkan status tanpa kewarganegaraan kanak-kanak termasuk situasi kompleks malah sensitif ini menuntut pendekatan lebih terperinci.

“Permohonan kewarganegaraan kanak-kanak yang dilahirkan di luar negara oleh ibu warganegara Malaysia perlu diproses dengan sewajarnya agar wanita negara ini boleh menikmati hak sama untuk anak-anak mereka,” katanya dalam satu kenyataan pada Sabtu.

Sinar Harian pada 12 Julai lalu melaporkan, cadangan pindaan Bahagian III Perlembagaan Persekutuan berhubung perkara kewarganegaraan akan dipersembahkan dalam mesyuarat Majlis Raja-Raja (MRR).

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said berkata, kerajaan sedang menyiapkan dokumen pembentangan meliputi kesemua cadangan pindaan dan pandangan rakyat sebelum dipersembahkan kepada MRR.

Tambah Suhakam, cadangan pindaan yang dibuat kerajaan itu dipuji, namun ia akan membawa kepada pemansuhan dan bukannya perlindungan kepada hak kewarganegaraan.

Artikel Berkaitan:

“Ini akan mengekalkan kitaran tanpa kewarganegaraan bagi kanak-kanak rentan seperti anak tidak sah taraf, diambil sebagai anak angkat oleh pasangan warganegara Malaysia, dijumpai atau terabai dan generasi baru.

“Ia adalah hak asasi manusia dan kanak-kanak untuk mendapat kewarganegaraan yang dijamin di bawah Perisytiharan Hak Asasi Manusia Sejagat.

“Menjadi warganegara yang diiktiraf di sesebuah negara akan membawa kepada pelbagai jaminan lain termasuk hak untuk mengundi, akses kepada keselamatan sosial, perkhidmatan kesihatan, pendidikan awam dan pekerjaan,” ujarnya.