NBHRAP 2025-2030 rangsang ekonomi, perjuang kebajikan rakyat

Azalina berucap pada Persidangan 'Unveiling Insights and Actions: Malaysia's Baseline Assessment on Business and Human Rights' pada Rabu. - Foto Bernama
Azalina berucap pada Persidangan 'Unveiling Insights and Actions: Malaysia's Baseline Assessment on Business and Human Rights' pada Rabu. - Foto Bernama
A
A
A

KUALA LUMPUR - Kerajaan komited membangunkan Pelan Tindakan Perniagaan dan Hak Asasi Manusia Kebangsaan (NBHRAP) 2025-2030 yang komprehensif bagi merancakkan pertumbuhan ekonomi di samping memperjuangkan kebajikan rakyat.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said berkata, pelan tindakan itu yang dijangka siap pada 2024, bertujuan mewujudkan persekitaran yang menarik pelaburan bertanggungjawab dan mengangkat kehidupan rakyat.

"Bagi Malaysia, saya fikir kita tidak boleh mengelakkan perniagaan dan hak asasi manusia.. dunia semakin kecil dan negara lain memerhatikan nilai-nilai kita apabila ia berkaitan dengan hak asasi manusia, terutamanya apabila saya menyebut tentang domain pekerja asing dan buruh paksa.

"Ketika kita mengharungi landskap ini, adalah menjadi tanggungjawab kita bersama untuk berusaha ke arah amalan perniagaan yang inklusif, beretika dan bertanggungjawab yang bukan sahaja merancakkan pertumbuhan ekonomi tetapi juga mengutamakan kebajikan rakyat Malaysia dan rakyat dunia yang bekerja di Malaysia," katanya.

Beliau berkata demikian dalam ucapan pembukaannya pada Persidangan 'Unveiling Insights and Actions: Malaysia's Baseline Assessment on Business and Human Rights' dengan kerjasama Bahagian Hal Ehwal Undang-Undang (BHEUU) Jabatan Perdana Menteri, Program Pembangunan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNDP), Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (Suhakam) dan Delegasi Kesatuan Eropah ke Malaysia di sini, pada Rabu.

Mengenai persidangan itu, beliau berkata, acara usaha sama itu bertujuan mempamerkan penemuan awal penilaian asas kebangsaan yang merupakan perkara penting dalam membangunkan pelan tindakan untuk hak asasi manusia dan perniagaan.

Selain itu, Azalina berkata, beliau akan mempengerusikan jawatankuasa pemandu dengan pihak berkepentingan Disember ini untuk memuktamadkan laporan berkenaan menjelang akhir tahun ini.

Jawatankuasa itu juga katanya akan meneliti butiran penilaian sebelum dibawa ke Kabinet untuk perbincangan lanjut antara agensi, dijangka pada tahun depan.

Artikel Berkaitan:

Turut hadir pada persidangan itu Wakil Residen UNDP ke Malaysia, Singapura dan Brunei, Niloy Banerjee dan Naib Pengerusi Suhakam, Datuk Mariati Robert. - Bernama