Daging katak perlu diasing daripada makanan halal - Mohd Izhar

Laporan Sinar Harian pada Selasa.
Laporan Sinar Harian pada Selasa.
A
A
A

SHAH ALAM - Tindakan pihak mencampurkan daging katak dengan makanan halal di pasar disifatkan sebagai tidak bertanggungjawab dan tidak menghormati prinsip makanan halal umat Islam di Malaysia.

Timbalan Dekan Jaringan Industri dan Masyarakat, Fakulti Pengajian Islam,Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Prof Madya Datuk Dr Mohd Izhar Ariff Mohd Kashim berkata, sebagaimana daging babi, makanan tidak halal lain seperti katak dan lain-lain wajib dipisahkan dengan makanan halal.

Menurutnya, daging katak haram dimakan berdasarkan hadis riwayat Abu Daud bahawa nabi melarang membunuh katak.

"Mazhab Shafie sebagaimana yang dijelaskan oleh Imam Nawawi dalam Kitab Majmuk bahawa orang Islam tidak boleh makan katak.

"Oleh kerana Malaysia berpegang dengan Mazhab Shafie, maka umat Islam di Malaysia berpegang bahawa daging katak adalah haram dimakan," katanya kepada Sinar Harian pada Rabu.

Pada Selasa, Sinar Harian melaporkan gambar tular memaparkan isi daging yang bentuknya seperti katak dikesan dijual di sebuah pasar raya di Selayang.

Kejadian didakwa berlaku pada pagi Selasa apabila salah seorang pelanggan pasar raya berkenaan mengesan terdapat isi daging katak diletakkan dalam pinggan bercampur dengan bahagian ikan.

Situasi tersebut menimbulkan rasa kurang senang pengguna terutama dalam kalangan pelanggan muslim yang turut membeli keperluan asas di pasar raya berkenaan.

Artikel Berkaitan:

Mohd Izhar Ariff berkata, pinggan yang digunakan bagi mengisi katak itu perlu dibasuh bersih sebelum digunakan untuk makanan halal lain.

Pada masa sama, beliau menasihati pengusaha dan peniaga untuk peka aspek pengasingan makanan halal dan haram bagi mengelak kekeliruan dalam kalangan pengguna.

"Nasihat saya kepada pengusaha, tolong jaga sensitiviti umat Islam di Malaysia supaya tidak menimbulkan perbalahan dan khilafan dalam kalangan rakyat Malaysia," katanya.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!