Malaysia perlu gandakan promosi produk halal tingkatkan eksport

KUALA LUMPUR, 9 Okt -- Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berucap pada Majlis Perasmian Program Halal On Track di Universiti Malaya hari ini.
--fotoBERNAMA (2023) HAK CIPTA TERPELIHARA
KUALA LUMPUR, 9 Okt -- Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berucap pada Majlis Perasmian Program Halal On Track di Universiti Malaya hari ini. --fotoBERNAMA (2023) HAK CIPTA TERPELIHARA
A
A
A

LONDON - Malaysia perlu melipatgandakan usaha mempromosi produk halal di luar negara bagi meningkatkan kadar eksport negara dalam sektor tersebut, kata Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Sehubungan itu, katanya, beliau menyarankan agar Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (MATRADE) diberikan peruntukan lebih besar bagi membantu usaha promosi untuk meningkatkan lagi pemasaran produk serta perkhidmatan Malaysia ke luar negara.

"Pada masa ini usaha mempromosikan produk tempatan (di luar negara) dilihat masih belum cukup agresif. Biarpun usaha sudah dimulakan sejak awal 1980-an, ia masih belum cukup kuat untuk pasaran seperti di United Kingdom (UK) dan Eropah.

"Oleh itu ia mesti dilakukan dengan usaha yang dijalankan oleh MATRADE... kita juga memiliki Majlis Amanah Rakyat (MARA) melalui 'Gate to Global' dan kita memiliki Halal Development Corporation Bhd (HDC)," katanya kepada pemberita selepas melawat pasar raya Chuanglee milik rakyat Malaysia di tenggara London pada Khamis.

Ahmad Zahid berada di London sempena lawatan selama empat hari bermula 25 Oktober dan dijadual menyampaikan ucap tama dan merasmikan Persidangan Perniagaan Halal Dunia (WHBC) anjuran Halal Development Corporation (HDC) yang diadakan di sini.

Acara tahunan yang berlangsung dari 27-28 Oktober itu adalah bertujuan untuk mengukuhkan lagi penjenamaan industri halal di peringkat antarabangsa.

Mengulas lanjut, Timbalan Perdana Menteri menekankan bahawa agensi kerajaan serta pihak swasta perlu berganding baharu berusaha bersama-sama untuk mempromosikan produk halal keluaran negara kerana pasaran halal dunia dijangka menjangkau nilai lebih daripada AS$1.3 trilion menjelang 2030.

"Potensinya cukup besar, usaha bukan sahaja daripada kerajaan dan swasta tetapi daripada rangkaian pemasaran yang ada terutama rakyat Malaysia yang menjadi usahawan di Eropah dan peringkat antarabangsa”, katanya.

Artikel Berkaitan:

Menurutnya, kerajaan bukan hanya sekadar mengeluarkan pembiayaan tetapi juga melakukan usaha promosi dan pemasaran dan berharap agar institusi kewangan Malaysia lebih proaktif membantu usahawan tempatan meneroka ke pasaran global.

Selain itu, beliau turut menggesa pengeluar agar memberi lebih perhatian kepada aspek peraturan dan piawaian yang ditetapkan negara pengimport bagi memastikan produk dihasilkan mendapat sambutan.

"Sebagai pengeksport kita tidak boleh memilih dan kita mesti mengikuti piawaian yang ditetapkan dan standard ini terpakai kepada semua negara lain.

"Kita juga mesti bersifat kompetitif supaya produk kita dapat dipasarkan dan saya fikir bagi tempoh 30 atau 40 tahun (sejak produk Malaysia memasuki pasaran luar negara), ini terlalu lama untuk kita cuma memperoleh sedikit peratusan daripada pasaran besar yang ada di sini," katanya.

Sementara itu, Ahmad Zahid turut memuji usaha pasar raya Chuanglee yang sentiasa membawa masuk produk Malaysia untuk dipasarkan di sini selain mengadakan seminar kepada pengusaha tempatan di Malaysia untuk menarik lebih ramai penyertaan daripada usahawan kecil dan sederhana termasuk mikro memasarkan produk mereka di UK.

Pasar raya itu yang telah beroperasi di sini sejak 1980-an memasarkan sebahagian besar produk dari Asia termasuk produk halal.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Chuanglee, Jimmy Chua yang ditemui berkata, syarikat tersebut tidak mempunyai masalah untuk membantu usahawan Malaysia membawa produk mereka ke pasaran UK.

Bagaimanapun, beliau berpandangan perlu ada sokongan yang lebih padu daripada pelbagai pihak dalam mempromosikan produk Malaysia di pasaran itu.

Beliau berkata, cawangan borong kumpulan itu mengimport hanya kira-kira 15 peratus produk dari Malaysia dengan lebih 50 peratus diimport dari Thailand dan bakinya dari Vietnam serta China.

"Kami mempunyai 15,000 unit penyimpanan stok (SKU) di cawangan kami. Import kami dari Malaysia bernilai sekitar RM5 juta setahun. Kita boleh bawa apa-apa sahaja dari Malaysia tetapi tanpa promosi yang betul ia hanya akan kekal berada di atas rak,” katanya.

Menurutnya, kumpulan itu merancang mengembangkan lagi perniagaannya dengan membuka sekurang-kurangnya lima lagi cawangan borong di UK serta lebih banyak lagi pasar raya.

"Apabila kita mempunyai penjenamaan yang lebih baik untuk produk Malaysia, kami percaya jualan boleh meningkat sebanyak 10 kali ganda," tambahnya. - Bernama