Bursa Malaysia ditutup bercampur-campur

Bursa Malaysia ditutup bercampur-campur hari ini apabila aktiviti pengambilan untung pada awal hari ini. -Foto hiasan
Bursa Malaysia ditutup bercampur-campur hari ini apabila aktiviti pengambilan untung pada awal hari ini. -Foto hiasan
A
A
A

BURSA Malaysia ditutup bercampur-campur hari ini apabila aktiviti pengambilan untung pada awal hari ini berkurangan memandangkan belian semasa harga rendah berlaku sementara pasaran menunggu pemangkin baharu, kata peniaga.

Pada 5 petang, FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) merosot 2.47 mata kepada 1,435.65 berbanding 1,438.12 semasa ditutup pada Isnin.

Indeks itu dibuka meningkat 0.16 mata kepada 1,438.28 dan bergerak antara 1,430.15 dan 1,440.28 sepanjang sesi.

Bagaimanapun, di keseluruhan pasaran, kaunter untung mengatasi kaunter rugi sebanyak 510 berbanding 348, manakala 452 kaunter tidak berubah, 1,058 tidak diniagakan and 13 digantung dagangan.

Jumlah dagangan berkurangan kepada 2.93 bilion unit bernilai RM1.94 bilion daripada 3.38 bilion unit bernilai RM2.0 bilion pada Isnin.

Ketua Penyelidik Apex Securities Bhd Kenneth Leong berkata pelabur akan membuat pemantauan teliti terhadap pengumuman prestasi kewangan korporat yang sedang berlaku di Amerika Syarikat seperti Coca-Cola, Microsoft, Alphabet, dan Visa pada lewat malam ini.

"Pada masa depan, kami menjangka bursa tempatan akan menikmati kestabilan dalam keadaan isyarat berkenaan aktiviti jualan yang semakin reda memandangkan indeks utama meningkat semula daripada paras terendah harian hari ini,” katanya kepada Bernama.

Sementara itu, Naib Presiden Penyelidikan Ekuiti Rakuten Trade Sdn Bhd Thong Pak Leng percaya sentimen pelabur akan kekal berhati-hati dalam masa terdekat ini berikutan risiko luaran yang semakin meningkat dan situasi tidak menentu, selain tekanan jualan daripada dana asing.

Artikel Berkaitan:

"Sehubungan itu, kami meramalkan FBM KLCI akan diniagakan tidak berubah dalam julat antara 1,430 hingga 1,450 untuk tempoh berbaki minggu ini, dengan paras sokongan serta-merta pada 1,430 dan rintangan pada 1,460,” katanya.

Dalam kalangan saham wajaran tinggi, Maybank berkurangan tiga sen kepada RM8.96, Public Bank turun dua sen kepada RM4.14, CIMB meraih dua sen kepada RM5.68, Petronas Chemicals meningkat lapan sen kepada RM7.15 dan Tenaga Nasional tidak berubah pada RM9.85.

Bagi saham aktif, Widad turun 10.5 sen kepada 43 sen, Metronic menyusut setengah sen kepada 1.5 sen, Sarawak Consolidated meningkat 1.5 sen kepada 54 sen, Kanger naik satu sen kepada 12.5 sen dan KNM menokok dua sen kepada 11 sen.

Di papan indeks, Indeks FBM Emas meningkat 13.52 mata kepada 10,591.33, Indeks FBMT 100 naik 6.39 mata kepada 10,267.85 dan Indeks FBM Emas Syariah menokok 21.09 mata kepada 10,818.26.

Indeks FBM 70 menokok 113.62 mata kepada 13,968.43 dan Indeks FBM ACE naik 22.61 mata kepada 5,047.31.

Mengikut sektor, Indeks Produk dan Perkhidmatan Perindustrian meningkat 0.86 mata kepada 171.11 dan Indeks Tenaga bertambah 5.91 mata kepada 873.85.

Bagaimanapun, Indeks Perkhidmatan Kewangan turun 22.71 mata kepada 16,181.11 dan Indeks Perladangan susut 16.37 mata kepada 6,857.24.

Jumlah dagangan Pasaran Utama berkurangan kepada 1.83 bilion unit bernilai RM1.66 bilion berbanding 2.33 bilion unit bernilai RM1.72 bilion pada Isnin.

Jumlah dagangan waran menokok kepada 322.59 juta unit bernilai RM39.82 juta daripada 195.82 juta unit bernilai RM13.72 juta semalam.

Jumlah dagangan Pasaran ACE menyusut kepada 766.74 juta saham bernilai RM235.04 juta daripada 830.05 juta saham bernilai RM259.45 juta sebelum ini.

Kaunter produk dan perkhidmatan pengguna menyumbang 214.06 juta saham yang diniagakan di Pasaran Utama, produk dan perkhidmatan perindustrian (524.73 juta); pembinaan (169.58 juta); teknologi (243.96 juta); SPAC (sifar); perkhidmatan kewangan (61.49 juta); hartanah (240.68 juta); perladangan (24.02 juta); REIT (11.57 juta), dana tertutup (28,100); tenaga (137.57 juta); penjagaan kesihatan (57.35 juta); telekomunikasi dan media (31.76 juta); pengangkutan dan logistik (43.70 juta); dan utiliti (72.36 juta). - Bernama

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!