Bursa Malaysia dibuka rendah

Bursa Malaysia memulakan dagangan Isnin dengan lebih rendah berikutan sentimen berhati-hati menjelang mesyuarat Rizab Persekutuan Amerika Syarikat pada 25-26 Julai ini dengan jangkaan kenaikan kadar faedah di negara maju itu. - Gambar hiasan
Bursa Malaysia memulakan dagangan Isnin dengan lebih rendah berikutan sentimen berhati-hati menjelang mesyuarat Rizab Persekutuan Amerika Syarikat pada 25-26 Julai ini dengan jangkaan kenaikan kadar faedah di negara maju itu. - Gambar hiasan
A
A
A

BURSA Malaysia memulakan dagangan Isnin dengan lebih rendah berikutan sentimen berhati-hati menjelang mesyuarat Rizab Persekutuan Amerika Syarikat pada 25-26 Julai ini dengan jangkaan kenaikan kadar faedah di negara maju itu.

Pada 9.05 pagi ini, indeks petunjuk utama FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) turun 0.22 mata kepada 1,413.30 daripada 1,413.52 pada Jumaat lepas.

Indeks pemacu pasaran itu dibuka susut 0.84 mata kepada 1,412.68.

Selain itu, pasaran secara meluas turut negatif dengan kaunter rugi mengatasi untung iaitu 132 berbanding 142 manakala 271 kaunter tidak berubah; 1,748 tidak diniagakan dan 16 lain digantung dagangannya.

Jumlah dagangan sebanyak 203.29 juta unit bernilai RM58.93 juta.

Sementara itu, bercakap kepada Bernama, Naib Presiden Penyelidikan Ekuiti Rakuten Trade Sdn Bhd, Thong Pak Leng berkata, bursa dijangka menyaksikan dagangan kurang memberangsangkan menjelang mesyuarat Jawatankuasa Pasaran Terbuka Persekutuan AS serta jangkaan kenaikan kadar faedah oleh Rizab Persekutuan AS.

Beliau berkata pada masa sama, saham-saham perladangan kekal sebagai pilihan pelabur susulan pengukuhan harga minyak sawit mentah yang meningkat kepada lebih RM4,000 satu tan.

"Pada hari ini, kami kekal yakin namun berhati-hati bahawa aktiviti memburu dan membeli saham-saham mewah akan berterusan, sekali gus menjangkakan indeks utama bursa bergerak dalam julat 1,410-1,420 dengan minat terus disandarkan ke atas saham berkaitan syarikat telekomunikasi.

"Adalah diharapkan kemasukan semula dana asing akan memberi pulangan kepada peruncit yang sebelum ini mengalami prestasi sebaliknya," katanya.

Saham wajaran tinggi menyaksikan Maybank naik satu sen kepada RM8.79, Tenaga Nasional menokok empat sen kepada RM9.15, Petronas Chemicals menambah tiga sen kepada RM6.53 manakala Public Bank tidak berubah pada RM3.98 dan CIMB merosot tiga sen kepada RM5.27.

Bagi saham aktif, Classita Holdings dan AHB Holdings naik setengah sen kepada 17 sen dan 15 sen, Jentayu Sustainable meraih lapan sen kepada RM1.07, Kumpulan Jetson turun dua sen kepada 21.5 sen manakala Advance Synergy turun setengah sen kepada 16.5 sen.

Di papan indeks menyaksikan Indeks FBM Emas meningkat 3.03 mata kepada 10,451.82, Indeks FBMT 100 naik 2.29 mata pada 10,133.65, Indeks FBM 70 menambah 19.44 mata kepada 13,895.73, Indeks FBM Emas Shariah menokok 8.31 mata kepada 10,755.27 manakala Indeks FBM ACE susut 4.37 mata kepada 5,325.22.

Bagi sektor pula, Indeks Tenaga menambah 1.65 mata kepada 819.37, Indeks Produk dan Perkhidmatan Perindustrian meraih 0.07 mata kepada 162.93, Indeks Perkhidmatan Kewangan sebaliknya susut 10.31 mata kepada 15,718.19 dan Indeks Perladangan turun 2.59 mata kepada 7,085.00. - Bernama