Perlukan mekanisme telus, cekap laksana subsidi bersasar

Ismail Sabri - Foto Bernama
Ismail Sabri - Foto Bernama
A
A
A

KUALA LUMPUR - Satu mekanisme yang telus dan cekap diperlukan dalam pelaksanaan subsidi bersasar bagi memastikan tiada golongan yang tercicir atau terkesan.

Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, mekanisme tersebut penting untuk diperhalusi susulan subsidi telah 'melekat' dalam ekonomi sebagai komponen struktural.

"Subsidi kerajaan tidak hanya tertumpu kepada sektor dan segmen tertentu sahaja, malah merentas keseluruhan sektor dan pasaran termasuk pasaran buruh.

"Justeru saya ingin bertanya apakah mekanisme yang akan digunakan kerajaan untuk melaksanakan subsidi bersasar pada tahun depan kerana ia tidak disentuh dalam pembentangan Belanjawan 2024," katanya ketika membahaskan Rang Undang-Undang Perbekalan 2024 di Dewan Rakyat hari ini.

Dalam pada itu, beliau yang juga bekas Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna turut mempersoalkan kesediaan sistem Pangkalan Data Utama (PADU) yang akan menjadi pangkalan data untuk memastikan subsidi disalur kepada golongan yang layak sahaja.

"Saya difahamkan kerajaan telah membangunkan sistem PADU yang akan digunakan Januari tahun depan. Adakah sistem ini telah diuji keberkesanannya kerana kita hanya mempunyai tempoh dua bulan sahaja sebelum ia dilancarkan.

“Siapakah yang layak diberi subsidi bersasar. Sebagai contoh, jika dilaksanakan subsidi petrol secara bersasar, bagaimana kerajaan akan menentukan ciri-ciri mereka yang layak. Adakah melalui jumlah pendapatan bulanan atau kapasiti enjin kenderaan,” ujarnya.

Ismail berkata, pelaksanaan subsidi bersasar tanpa mekanisme yang tepat akan menyebabkan rakyat terus terbeban apatah lagi kos sara hidup semakin meningkat.

Artikel Berkaitan:

Oleh sebab itu ketika menerajui kerajaan, beliau sebagai Perdana Menteri mempertahankan pemberian subsidi temasuk memperluaskan kepada ayam dan telur ekoran fokus utama untuk kesejahteraan rakyat walaupun terpaksa berbelanja besar.

“Kerajaan Keluarga Malaysia memahami rantaian subsidi dalam pasaran dan kita mengambil langkah ‘bertahan’ sehingga ekonomi dan pendapatan rakyat mengukuh, sebelum langkah rasionalisasi subsidi boleh dilaksanakan.

“Namun belum pun harga ayam diapungkan, dua hari lepas dalam akhbar harian Malaysia, melaporkan harga ayam mencecah RM11 sekilogram. Apa akan jadi pada tahun depan jika harga ayam diapungkan,” katanya.