Lupus sampah haram: Pemilik tanah dikompaun RM25,000

MBSJ turut mengambil tindakan menutup kesemua laluan masuk ke tapak pembuangan sampah.
MBSJ turut mengambil tindakan menutup kesemua laluan masuk ke tapak pembuangan sampah.
A
A
A

SUBANG JAYA - Majlis Bandaraya Subang Jaya (MBSJ) bertindak tegas terhadap pemilik dan penceroboh tanah yang menjalankan aktiviti pelupusan sampah tanpa kelulusan pihak berkuasa tempatan (PBT) di kawasan Taman Perindustrian Puchong Perdana di sini, pada Selasa.

Timbalan Pengarah Jabatan Korporat dan Pengurusan Strategik MBSJ, Azfarizal Abdul Rashid berkata, pihaknya mengeluarkan kompaun RM25,000 ke atas pemilik tanah terbabit mengikut Seksyen 9, Akta Jalan, Parit dan Bangunan 1974.

Dalam masa sama, MBSJ turut menyita barangan yang digunakan bagi menjalankan aktiviti pelupusan sampah haram berkenaan.


MBSJ tidak bertolak ansur terhadap mana-mana individu melakukan kesalahan kacau ganggu khususnya aktiviti pembuangan sampah haram.
MBSJ tidak bertolak ansur terhadap mana-mana individu melakukan kesalahan kacau ganggu khususnya aktiviti pembuangan sampah haram.

"Malah sebelum ini MBSJ telah pun melaksanakan tindakan menyita jentera (milik penceroboh tanah) yang menjalankan aktiviti pelupusan sampah haram (di kawasan itu)," katanya kepada pemberita ketika ditemui di lokasi pada Selasa.

Dalam pada itu, MBSJ turut mengambil tindakan proaktif menutup kesemua laluan masuk ke tapak pembuangan sampah melalui kaedah blok-blok batu besar dan memasang tali kuning.

"MBSJ memandang serius dan tidak akan bertolak ansur terhadap mana-mana individu melakukan kesalahan kacau ganggu khususnya aktiviti pembuangan sampah haram yang menyebabkan pencemaran alam sekitar.

"Pemilik tanah juga diingatkan bertanggungjawab menjaga kawasan milik tanah masing-masing berikutan pemilik tanah juga tidak akan terlepas daripada tindakan mahkamah dan akan bertanggungjawab terhadap apa-apa aktiviti haram dan pembuangan sampah yang dilakukan di atas tanah mereka," katanya.

Artikel Berkaitan:


Anggota penguatkuasa yang terlibat dalam operasi di kawasan Taman Perindustrian Puchong Perdana pada Selasa.
Anggota penguatkuasa yang terlibat dalam operasi di kawasan Taman Perindustrian Puchong Perdana pada Selasa.

Dalam pada itu, pemilik tanah terbabit turut dilaporkan mengambil tindakan mahkamah terhadap penceroboh dan diberi tempoh sehingga 7 November depan untuk keluar dari lot tapak berkenaan.