Penduduk bantah projek tapak pelupusan sampah

Sebahagian penduduk menyatakan bantahan terhadap projek tapak pelupusan sampah yang akan dibina berhampiran Felda Lok Heng.
Sebahagian penduduk menyatakan bantahan terhadap projek tapak pelupusan sampah yang akan dibina berhampiran Felda Lok Heng.
A
A
A

KOTA TINGGI - Dianggarkan lebih 25,000 penduduk di Gugusan Felda Lok Heng, Felda Waha dan Tanjung Sedili di sini menyuarakan bantahan terhadap projek tapak pelupusan sampah seluas 180 hektar di kawasan berkenaan.

Tinjauan Sinar Harian mendapati, rata-rata penduduk di situ tidak berpuas hati dan membantah projek berkenaan kerana didakwa dibina berhampiran kawasan rumah penduduk termasuk kediaman generasi kedua yang sedang dalam pembinaan.

Malah, apa yang lebih membimbangkan tapak pelupusan sampah itu dikhuatiri akan mencemari aliran sungai kecil di kawasan tersebut.

Seorang penduduk dari Felda Lok Heng Barat, Rasid Che Harun, 49, berkata, kewujudan tapak pelupusan sampah di situ akan menimbulkan pelbagai masalah pada masa hadapan.

Mohd Hairi, Rasid, Muhammad Firdaus
Mohd Hairi, Rasid, Muhammad Firdaus

Katanya, antara masalah yang bakal timbul adalah pencemaran terhadap sungai di situ yang akan menyebabkan saliran air ke rumah penduduk turut tercemar.

"Saya daripada pihak generasi kedua Felda Lok Heng Barat memang tak bersetuju dengan projek ini (tapak pelupusan sampah) kerana ia dibuat berdekatan dengan kawasan perumahan generasi kedua yang sedang dalam pembinaan dan kampung itu sendiri.

"Kita tengok depan ini pun ada saliran yang akan pergi kepada loji dan kalau kita tengok kesan jangka masa panjang, ia akan bagi kesan bau, lalat yang mana akan buat penduduk jadi tak selesa.

Artikel Berkaitan:

"Kesannya bukan nampak esok atau sehari dua kerana ia akan jadi lagi besar. 180 hektar tapak pelupusan sampah, jadi berapa banyak sampah? Satu Penawar satu Kota Tinggi akan dikumpulkan di sini, jadi sebelum berlaku saya bagi pihak generasi kedua membantah sekeras-kerasnya projek ini," katanya.

Seorang lagi penduduk, Mohd Hairi Khairul Anuar, 35, meminta pihak berwajib untuk memikirkan semula perkara itu dalam usaha menjamin keselamatan penduduk.

Katanya, kewujudan tapak pelupusan sampah dikhuatiri akan memberikan kesan pencemaran yang lebih teruk pada masa akan datang.

"Saya sebenarnya sedih dan marah kerana walaupun tak libatkan Felda Gugusan Waha, tetapi saya takut sangat pencemaran akan berlaku khasnya pencemaran air.

"Memang jauh dari Felda Waha tapi air yang mengalir dari sungai yang sama, berpuluh tahun dengan isu air kejap ada kejap tak ada.

Kawasan sungai kecil yang dikhuatiri tercemar akibat projek tapak pelupusan sampah tersebut.
Kawasan sungai kecil yang dikhuatiri tercemar akibat projek tapak pelupusan sampah tersebut.

"Oleh itu saya minta pihak yang berwajib bertanggungjawab, jangan asyik fikirkan keuntungan sahaja sebab ia melibatkan keselamatan penduduk di sini," katanya.

Timbalan Pengerusi Majlis Belia Felda Wilayah Johor Bahru, Muhammad Firdaus Marju, 39, berkata, tapak pelupusan sampah berkenaan tidak seharusnya dibina di situ kerana terletak berhampiran dengan kawasan kediaman penduduk.

"Kalau maju, kenapa tak diteruskan di tempat sedia ada, tapi buat di tempat kami sedangkan kawasan ini dah didiami oleh penduduk lebih 30 tahun?

"Jadi saya bantah sekeras-kerasnya projek ini. Walaupun teknologi maju, tapi kami tak nak sebab ia berikan kesan yang tidak baik kepada kami," katanya.

Pihak berwajib perlu turun, berdialog dengan penduduk

Sementara itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Johor Lama, Norliza Noh berkata, tiada perbincangan dibuat antara Majlis Daerah Kota Tinggi (MDKT) berhubung isu terbabit dengan pihaknya ataupun masyarakat setempat.

Norliza (tengah) mendengar keluhan penduduk ketika melakukan lawatan ke tapak projek pelupusan sampah berkenaan.
Norliza (tengah) mendengar keluhan penduduk ketika melakukan lawatan ke tapak projek pelupusan sampah berkenaan.

Justeru, beliau mencadangkan pihak yang berkenaan mengadakan sesi dialog bersama penduduk setempat bagi mendengar suara serta pandangan mereka berhubung pelaksanaan projek tersebut.

"Saya dan pihak pengurusan Felda akan menyerahkan surat kepada pihak MDKT bagi mengadakan sesi dialog bersama penduduk, sekali gus menjelaskan mengenai projek berkenaan kepada masyarakat setempat," katanya pada Isnin.

Difahamkan, projek tapak pelupusan sampah di kawasan Felda Lok Heng di sini, pernah dibatalkan sebelum ini atas desakan penduduk, tetapi masih dilaksanakan tanpa ada sebarang perbincangan dengan penduduk.

Kawasan yang didakwa bakal dijadikan tapak pelupusan sampah.
Kawasan yang didakwa bakal dijadikan tapak pelupusan sampah.

Norliza berkata, pihaknya juga bakal berjumpa serta membincangakan isu tersebut dengan Exco Perumahan dan Kerajaan Tempatan serta Exco Alam Sekitar, dalam masa terdekat.

"Sebelum ini, pihak majlis memaklumkan ada bantahan daripada penduduk kampung, jadi itu sangat tak adil bila ada bantahan baru melibatkan saya.

"Sebelum itu memang tak ada perbincangan antara pihak berwajib dan pihak saya sendiri. Apa pun, saya bersama penduduk di Gugusan Felda Lok Heng membantah pembinaan projek tersebut," katanya.