Tekad MAIWP keluarkan asnaf dari kemiskinan

A
A
A

Mohd Na’im (dua dari kiri) meneliti kualiti cili fertigasi yang diusahakan di bawah Projek Kebun Bandar MAIWP di Taman Koperasi Polis 2, di sini pada Sabtu.
Mohd Na’im (dua dari kiri) meneliti kualiti cili fertigasi yang diusahakan di bawah Projek Kebun Bandar MAIWP di Taman Koperasi Polis 2, di sini pada Sabtu.

KUALA LUMPUR - Seramai 10 asnaf telah berjaya mengusahakan projek tanaman cili fertigasi menerusi konsep urban farming di bawah kendalian Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP).

Projek di atas tanah berkeluasan keseluruhan dua hektar di Taman Koperasi Polis 2 itu merupakan inisiatif MAIWP di bawah Projek Kebun Bandar khusus untuk melatih peserta asnaf dalam aktiviti pertanian.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Mohd Na'im Haji Mokhtar berkata, menerusi projek tersebut, para peserta yang merupakan penerima bantuan bulanan MAIWP diberikan latihan oleh syarikat GrasiCili mengenai selok-belok aktiviti penanaman cili fertigasi.

“Para peserta diberikan ilmu secara teori dan amali di tapak projek untuk tempoh dua tahun, Malah, mereka dibayar elaun sebanyak RM1,700 sebulan.

“Alhamdulillah, untuk peringkat permulaan melibatkan sebahagian 0.8 hektar tapak projek, sebanyak 11.6 tan cili telah dihasilkan pada Februari lalu dengan keuntungan bersih sebanyak RM20,000,” katanya semasa mengadakan lawatan ke tapak Projek Kebun Bandar MAIWP di sini, pada Sabtu.

Mohd Na'im (dua dari kiri) dan Mohd Nizam (kiri) bersama salah seorang peserta menunjukkan hasil cili fertigasi di bawah Projek Kebun Bandar MAIWP.
Mohd Na'im (dua dari kiri) dan Mohd Nizam (kiri) bersama salah seorang peserta menunjukkan hasil cili fertigasi di bawah Projek Kebun Bandar MAIWP.

Artikel Berkaitan:

Hadir sama dalam lawatan itu ialah Timbalan Ketua Pengawai Eksekutif MAIWP, Datuk Mohd Nizam Yahya.

Tambah Mohd Na’im, semaian peringkat kedua telah diadakan pada Jun lalu yang mana kerja-kerja tuaian hasil akan dijalankan dalam tempoh satu atau dua bulan ini.

Menurut beliau, berdasarkan daripada kejayaan pelaksanaan Projek Kebun Bandar MAIWP, Agrobank juga telah bersetuju untuk menjalankan kerjasama strategik bersama pihaknya di bawah Program Hijrah Asnaf melalui dana wakalah, zakat serta pembiayaan mikro i-Tekad.

Di bawah Program Hijrah Asnaf itu katanya, para peserta akan dilatih untuk menjadi usahawan pertanian dengan mengusahakan baki tanah di lokasi yang sama.

"Penanaman cili fertigasi ini dijangka akan menjana pulangan tambahan keseluruhan sebanyak RM2,700 sebulan untuk setiap peserta.

Sebahagian dari dua hektar tanah yang diusahakan oleh 10 peserta asnaf untuk aktiviti penanaman cili fertigasi di Taman Koperasi Polis 2, di sini.
Sebahagian dari dua hektar tanah yang diusahakan oleh 10 peserta asnaf untuk aktiviti penanaman cili fertigasi di Taman Koperasi Polis 2, di sini.

"Justeru, usaha ini merupakan peluang kerjaya kepada asnaf yang mampu mengubah status sosioekonomi mereka di samping membantu meningkatkan jaminan bekalan makanan dalam negara,” jelas beliau yang mana usaha itu selari dengan hasrat kerajaan menoktahkan kemiskinan tegar.

Dalam pada itu, Mohd Na’im memaklumkan MAIWP akan memperbanyakkan lagi kerjasama bersama rakan-rakan strategik bagi memperluaskan Projek Kebun Bandar itu.

“Selain kerjasama dengan GrasiCili, MAIWP turut berhasrat untuk memperbanyakkan lagi usahasama dengan beberapa rakan strategik lain bagi memperluaskan Projek Kebun Bandar ini dengan tanaman-tanaman lain,” jelas beliau ang menyatakan selain cili, projek tersebut turut melibatkan tanaman cendawan, terung dan tanaman hidroponik.

Kata beliau, hasil cili d bawah Projek Kebun Bandar dihantar ke kilang untuk pembuatan sos cili dan dijual di pasar raya.