Asnaf tekad tambah ilmu, keluar dari kemiskinan

Rohizan melihat barang-barang yang dibekalkan kepada peserta kursus ketika Majlis Penyampaian Kit Permulaan Perniagaan Kursus Spa, Kecantikan dan Perbidanan di sebuah hotel di sini.
Rohizan melihat barang-barang yang dibekalkan kepada peserta kursus ketika Majlis Penyampaian Kit Permulaan Perniagaan Kursus Spa, Kecantikan dan Perbidanan di sebuah hotel di sini.
A
A
A

IPOH - Mahu memastikan kehidupan anak-anak menjadi lebih baik dan selesa, golongan asnaf yang dibantu Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Perak (MAIPk) bertekad untuk keluar dari kepompong kemiskinan.

FARZIANA
FARZIANA

Bagi Farziana Mustapha Kamal, 38, penyertaannya di dalam Program Pemerkasaan Ekonomi Asnaf MAIPk (Proper A) bertujuan membantu keluarga menambah pendapatan.

Menurutnya, selama ini perbelanjaan keluarga ditanggung sepenuhnya oleh suami yang bekerja kampung dengan pendapatan tidak menentu.

"Selama ini saya suri rumah sepenuh masa, namun kali ini saya tekad untuk mendapatkan ilmu berkaitan perbidanan dengan bantuan daripada MAIPk.

"Dengan ilmu baharu ini saya nampak masa depan lebih cerah untuk pastikan anak-anak dan keluarga selesa dengan pendapatan tambahan menguruskan wanita selepas bersalin," katanya kepada pemberita selepas Majlis Penyampaian Kit Permulaan Perniagaan Kursus Spa, Kecantikan dan Perbidanan di sebuah hotel di sini.

Seorang lagi penerima bantuan MAIPk, Norshahrina Ahmad Khairi, 39, berkata, melalui kursus yang disediakan, banyak perkara baharu dipelajari meskipun sudah melaksanakan pekerjaan tersebut sejak 20 tahun lalu.

Katanya, selama ini kerjaya tersebut dilakukan sendiri tanpa bimbingan dari segi pemasaran dan pengurusan kewangan dengan pendapatan kira-kira RM1,000 sebulan.

Artikel Berkaitan:

Namun dia yakin dengan ilmu diperoleh menerusi kursus Proper A disertai selama enam bulan, pendapatannya mampu melonjak sehingga RM5,000 sebulan.

Kesemua peserta kursus menerima kit permulaan perniagaan yang disampaikan Rohizan ketika Majlis Penyampaian Kit Permulaan Perniagaan Kursus Spa, Kecantikan dan Perbidanan di sebuah hotel di sini.
Kesemua peserta kursus menerima kit permulaan perniagaan yang disampaikan Rohizan ketika Majlis Penyampaian Kit Permulaan Perniagaan Kursus Spa, Kecantikan dan Perbidanan di sebuah hotel di sini.

Sementara itu, Pengurus Besar Bahagian Agihan Zakat MAIPk, Rohizan Omar berkata, Proper A diperkenalkan sejak tahun 2016 dengan menyasarkan asnaf-asnaf berpotensi untuk keluar dari kepompong kemiskinan.

Menurutnya, sehingga kini seramai 1,667 orang telah mengikuti pelbagai kursus yang disediakan di bawah Proper A.

Beliau berkata, daripada jumlah itu seramai kira-kira 1,500 orang yang berjaya keluar daripada kelompok penerima asnaf.

"Sebilangan mereka terutama usahawan yang telah berjaya ini bukan sahaja tidak lagi menjadi asnaf malah ada yang telah mula membayar zakat dalam tempoh dua tiga tahun kebelakangan ini.

"Mereka ini semasa program dilatih, dibimbing, diberikan ilmu tentang perniagaan yang mereka ceburi dan diberikan juga barang berupa kit permulaan untuk perniagaan," katanya.

Beliau berkata, setiap tahun MAIPk memperuntukkan di antara RM1.5 juta hingga RM2 juta bagi program berkenaan.

Sementara itu, Rohizan berkata, Kursus Spa, Kecantikan dan Perbidanan, seramai 20 orang dipilih mengikuti program yang dikendalikan pakar dalam bidang tersebut iaitu Rosdziah Mohd Zainuddin.