Tambah mesin dialisis tampung keperluan pesakit buah pinggang

Kerajaan boleh mempertimbangkan untuk menyediakan lebih banyak tempat dialisis bagi golongan yang kurang berkemampuan. - Foto: Bernama (Gambar kecil: Lam Thye)
Kerajaan boleh mempertimbangkan untuk menyediakan lebih banyak tempat dialisis bagi golongan yang kurang berkemampuan. - Foto: Bernama (Gambar kecil: Lam Thye)
A
A
A

SHAH ALAM - Kerajaan perlu mempertimbangkan peruntukan yang lebih tinggi bagi membeli mesin dialisis bagi rawatan pesakit buah pinggang di negara ini.

Pengerusi Pertubuhan Ikatan Komuniti Selamat, Tan Sri Lee Lam Thye berkata, buat masa ini, terdapat lebih 40,000 pesakit yang sedang dan memerlukan rawatan dialisis secara berkala di seluruh negara.

Bagaimanapun katanya, masalah timbul apabila ramai daripada mereka yang sukar untuk mendapatkan rawatan kerana tempoh menunggu terlalu lama sehingga terpaksa beralih kepada pusat dialisis swasta.

“Saya terima banyak aduan daripada pesakit buah pinggang yang berdepan dengan kos begitu tinggi. Bagi orang biasa terutamanya B40, mereka tidak mampu mendapatkan rawatan dialisis di hospital swasta kerana ada yang mencecah RM250 bagi satu sesi sahaja.

“Sedangkan seorang pesakit perlu mendapatkan dialisis sehingga tiga kali seminggu. Kalau hospital kerajaan tiada tempat kosong, mereka tidak dapat dialisis sedangkan terpaksa bergantung kepada tiub dan mesin untuk mencuci buah pinggang,” katanya kepada Sinar Harian pada Ahad.

Tambah Lam Thye, kerajaan juga boleh mempertimbangkan untuk menyediakan lebih banyak tempat dialisis bagi yang kurang berkemampuan.

Selain itu katanya, kerajaan boleh memberikan subsidi atau bantuan bagi mereka mendapatkan rawatan.

“Jadi, bantuan yang diberikan itu boleh digunakan untuk mereka mendapatan rawatan di pusat dialisis swasta atau yang dikendalikan oleh badan bukan kerajaan,” jelasnya.

Artikel Berkaitan: