[VIDEO] 'Umi sentiasa sebut tentang syahid, mahu anak imamkan jenazah'

A
A
A

SUNGAI PETANI - Sembahyang jenazah ke atas Ketua Muslimat Pas Sungai Petani, Taibah Sulaiman, 61, yang maut bersama dua yang lain dalam nahas pada Jumaat, diimamkan anaknya, Imaduddin Md Noor, 24, dalam keadaan sebak sehingga menyentuh hati semua jemaah yang hadir.

Sebelum itu, jenazah dibawa pulang dari Hospital Slim River, Perak ke kampung halaman di Kampung Teluk Wang dan disolatkan di Masjid As-Salam Kariah Teluk Wang di sini oleh kira-kira 500 jemaah sekitar jam 9 pagi Sabtu.

Imaduddin berkata, walaupun sebak, namun dia cuba untuk menunaikan amanat terakhir seperti yang diminta ibu kepada lapan anak itu.

Jenazah Taibah disembahyangkan di Masjid As-Salam Kariah Teluk Wang, Sungai Petani Kedah. Gambar kecil: Taibah
Jenazah Taibah disembahyangkan di Masjid As-Salam Kariah Teluk Wang, Sungai Petani Kedah. Gambar kecil: Taibah

"Saya dah sedia (nak imam solat) tetapi bila masuk dalam saf rasa macam tak boleh...saya tak mampu sebab terlalu sedih tetapi lepas itu depa panggil lagi.

"Saya kuatkan hati bila ingat pesan umi, 'hantar hangpa (anak-anak) mengaji (sekolah) agama nanti sembahyang jenazah, umi nak hangpa jadi imam'.

"Saya tunaikanlah yang itu, setakat itulah khidmat terakhir saya," katanya ketika ditemui selepas selesai proses pengebumian di Tanah Perkuburan Islam Kampung Teluk Wang kira-kira 9.40 pagi.

Imaduddin yang merupakan anak keenam berkata, ibunya sering mengimpikan mahu mati syahid selain meminta anak-anak turut melakukan pengorbanan termasuk membantu perjuangan rakyat Palestin di Gaza yang kini sedang bergolak.

Artikel Berkaitan:

Tambahnya, Rabu lalu, dia yang menghantar ibunya ke Stesen Bas Sungai Petani untuk bersama rombongan ke Muktamar Tahunan Pas di Shah Alam, Selangor.

Imaduddin menyiram air mawar di pusara ibunya sambil disaksikan Md Noor (belakang, kiri) di Tanah Perkuburan Islam Kampung Teluk Wang, Sungai Petani pada Sabtu. Gambar kecil: Imaduddin
Imaduddin menyiram air mawar di pusara ibunya sambil disaksikan Md Noor (belakang, kiri) di Tanah Perkuburan Islam Kampung Teluk Wang, Sungai Petani pada Sabtu. Gambar kecil: Imaduddin

"Sekarang tengah hangat isu Palestin, umi kata hangpa ni lelaki bolehlah pi sana, boleh dapat syahid, umi ni perempuan payah.

"Umi suka membantu orang...selalu cerita tentang kematian orang yang baik-baik, umi selalu impikan mati syahid... saya sedih tapi saya syukur, umi meninggal dunia ketika mahu membantu orang lain... umi dah dapat apa umi nak," katanya.

Sementara itu, suami Taibah, Md Noor Hasan, 61, pula berkata, dia dan isteri mendirikan rumah tangga kira-kira 35 tahun lalu dan dikurniakan empat anak lelaki dan empat perempuan.

"Arwah sangat menjaga solat, membaca al-Quran bersama anak-anak dan suka membantu orang lain.

"Depa balik dari muktamar menaiki satu kereta, lima orang.

"Masa perjalanan balik, ada kereta baru kemalangan, tiga daripada mereka turun untuk membantu walaupun kereta mereka sudah jauh ke depan, mereka berhenti dan berjalan kaki untuk membantu... ketika itulah kemalangan berlaku," katanya.

Md Noor berkata, isterinya sering bercakap mengenai kematian namun menganggap itu perkara biasa kerana Taibah merupakan salah seorang individu yang menguruskan jenazah.

"Saya mulanya terkejut apabila menerima berita kemalangan dan pemergian isteri kira-kira jam 3 petang semalam, namun saya reda dengan apa yang ditentukan," katanya.

Dalam kejadian sekitar jam 2.30 petang itu, Taibah yang merupakan anggota Dewan Muslimat Pas bersama dua lagi rakan meninggal dunia ketika membantu kenderaan lain yang kemalangan semasa melalui Lebuhraya Utara Selatan arah utara dekat Behrang akibat dirempuh kereta, petang Jumaat.

Dua lagi yang maut ialah Ketua Unit Khas Wanita Muda Pas Sungai Petani, Fatihah Nabila Bukri, 23, dan Penolong Setiausaha Muslimat Pas Sungai Petani, Nurul Najihah Amzi, 27.

Kejadian berlaku ketika mereka dalam perjalanan pulang ke Sungai Petani, Kedah selepas mengikuti Muktamar Tahunan Pas ke-69 yang berlangsung di Shah Alam, Selangor.