Nahas tiga Muslimat Pas: Pemandu kereta ditahan

Pemandu kereta yang terlibat dalam insiden rempuhan hingga mengorbankan tiga perwakilan Muslimat Pas telah ditahan untuk siasatan. (Gambar kecil: Mohd Hasni)
Pemandu kereta yang terlibat dalam insiden rempuhan hingga mengorbankan tiga perwakilan Muslimat Pas telah ditahan untuk siasatan. (Gambar kecil: Mohd Hasni)
A
A
A

TANJUNG MALIM - Pemandu kereta yang terlibat dalam insiden rempuhan hingga mengorbankan tiga perwakilan Muslimat Pas di Kilometer 390 Lebuhraya Utara Selatan arah utara dekat Behrang di sini pada Jumaat telah ditahan untuk siasatan.

Lelaki berusia 30 tahun itu ditahan ketika hadir ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Mualim bagi memberi keterangan.

Ketua Polis Daerah Mualim, Superintenden Mohd Hasni Mohd Nasir berkata, tahanan dilakukan 24 jam untuk siasatan lanjut kes kemalangan berkenaan.

"Lelaki itu akan dibebaskan pada jam 2 petang ini. Siasatan dilakukan di bawah Seksyen 4(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987," katanya.

Siasatan awal mendapati, lelaki yang memandu Toyota Altis di lorong kanan lebuh raya itu hilang kawalan dan melanggar enam mangsa di hadapannya menyebabkan semua mereka terhumban ke dalam longkang di kiri jalan.

Impak pelanggaran mengakibatkan tiga mangsa meninggal dunia sementara mangsa lain mengalami cedera ringan.

Semasa kejadian, semua mangsa turun dari kenderaan bagi membantu sebuah pacuan empat roda jenis Mitsubishi Triton yang terbalik ke longkang kiri jalan.

Kejadian sekitar jam 2.30 petang itu mengakibatkan Ketua Unit Khas Wanita Muda Pas Sungai Petani, Fatihah Nabila Bukri, 23, dan Ketua Muslimat Pas Sungai Petani, Taibah Sulaiman, 61, maut di tempat kejadian.

Artikel Berkaitan:

Penolong Setiausaha Muslimat Pas Sungai Petani, Nurul Najihah Amzi, 27, meninggal dunia semasa menerima rawatan di Hospital Slim River.