Tiga perwakilan Dewan Muslimat Pas maut ketika perjalanan pulang

Tiga ahli Dewan Muslimat Pas maut selepas terlibat dalam nahas enam kenderaan di Kilometer 390 Lebuhraya Utara Selatan, arah utara, dekat Tanjung Malim pada Jumaat.
Tiga ahli Dewan Muslimat Pas maut selepas terlibat dalam nahas enam kenderaan di Kilometer 390 Lebuhraya Utara Selatan, arah utara, dekat Tanjung Malim pada Jumaat.
A
A
A

TANJUNG MALIM - [DIKEMAS KINI] Tiga ahli Dewan Muslimat Pas yang dalam perjalanan pulang selepas menghadiri Muktamar Tahunan ke-69 parti itu meninggal dunia selepas terlibat dalam nahas enam kenderaan di Kilometer 390 Lebuhraya Utara Selatan, arah utara, dekat Tanjung Malim, pada Jumaat.

Mangsa dikenali sebagai Fatihah Nabila Bukri, 23, yang merupakan Ketua Unit Khas Wanita Muda Pas Sungai Petani; Ketua Muslimah Pas Sungai Petani, Taibah Sulaiman, 61, dan Penolong Setiausaha 1 Pas Sungai Petani, Nurul Najihah Amzi, 27.

Fatihan Nabila dan Taibah meninggal dunia di lokasi kejadian manakala Nurul Najihah meninggal dunia ketika menerima rawatan di Hospital Slim River.

Difahamkan, ketiga-tiga mereka sempat mendengar Ucapan Dasar Presiden Pas dalam Muktamar tahunan parti tersebut pada pagi Jumaat sebelum pulang ke kediaman mereka di Sungai Petani dengan menaiki kereta.

Kemalangan tersebut dilaporkan berlaku di Behrang, Perak iaitu ketika dalam perjalanan pulang ke Sungai Petani, Kedah pada Jumaat.

Ketua Polis Daerah Muallim, Superintenden Mohd Hasni Mohd Nasir berkata, kira-kira jam 2.30 petang, pihaknya menerima maklumat mengenai kemalangan maut yang melibatkan enam buah kenderaan, termasuk dua motosikal.

Katanya, siasatan yang dijalankan di lokasi mendapati kenderaan pacuan empat roda jenis Mitsubishi Triton yang dalam perjalanan dari Kuala Lumpur ke Kedah, telah hilang kawalan lalu berpusing dan terbalik di dalam longkang kiri jalan.

"Dua buah motosikal jenis Yamaha Y15ZR dan Honda EX5 serta kereta jenis Perodua Myvi dan Toyota Fortuner telah berhenti di lorong kecemasan untuk memberikan bantuan.

Artikel Berkaitan:

"Kira-kira lima minit kemudian, sebuah kereta jenis Toyota Altis yang datang dari arah sama di lorong kanan telah hilang kawalan lalu terlanggar ketiga-tiga mangsa serta dua penunggang motosikal dan pemandu Perodua Myvi," katanya dalam satu kenyataan pada Jumaat.

Mohd Hasni berkata, mangsa yang lain hanya mengalami kecederaan ringan.

Katanya, ketiga-tiga mangsa yang meninggal dunia baru sahaja menghadiri Muktamar Tahunan Pas ke-69 di Shah Alam, Selangor.

Menurutnya, punca kemalangan disebabkan kereta Toyota Altis terbabas dan terlanggar mangsa dan kenderaan di lorong kecemasan.