30 minit menunggu dalam kereta, tak tahu rakan maut dirempuh

Hasnah (kanan) bersama Jamaliah ketika ditemui di Unit Forensik Hospital Slim River pada Jumaat.
Hasnah (kanan) bersama Jamaliah ketika ditemui di Unit Forensik Hospital Slim River pada Jumaat.
A
A
A

TANJUNG MALIM - Keadaan hujan lebat ditambah dengan kenderaan banyak menghalang membuatkan rakan tidak sedar kejadian menimpa tiga perwakilan Muslimat Pas yang terkorban semasa membantu mangsa kemalangan di Kilometer 390 Lebuhraya Utara Selatan arah utara dekat Behrang di sini pada Jumaat.

Hasnah Nayan, 61, berkata, ketika kejadian dia bersama seorang lagi perwakilan, Noorsimah Saleh, 54, tidak turun dari kenderaan kerana kurang sihat.

"Dekat 30 minit juga kami duduk dalam kereta, sepanjang tempoh itu kami tak sedar apa yang berlaku di luar kerana tak nampak apa, bunyi dentuman pun tak dengar.

"Bila dah rasa lama sangat, saya turun kereta, tak lama selepas itu ambulans datang bertanya dan maklumkan tiga rakan kami itu telah dirempuh kereta," katanya kepada pemberita.

Kejadian sekitar jam 2.30 petang itu mengakibatkan Ketua Unit Khas Wanita Muda Pas Sungai Petani, Fatihah Nabila Bukri, 23, dan Ketua Muslimat Pas Sungai Petani, Taibah Sulaiman, 61, maut di tempat kejadian.

Sementara, Penolong Setiausaha Muslimat Pas Sungai Petani, Nurul Najihah Amzi, 27, meninggal dunia semasa menerima rawatan di Hospital Slim River.

Kejadian berlaku ketika mereka dalam perjalanan pulang ke Sungai Petani, Kedah selepas mengikuti Muktamar Tahunan Pas ke-69 yang berlangsung di Shah Alam, Selangor.

Artikel Berkaitan:

Gambar kenangan Fatihah Nabila (empat dari kiri) bersama Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor.
Gambar kenangan Fatihah Nabila (empat dari kiri) bersama Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor.

Hasnah berkata, mereka berlima yang menaiki kereta jenis Toyota Fortuner sempat berhenti di Hentian Sebelah Behrang untuk solat dan makan sebelum meneruskan perjalanan hingga sampai ke lokasi kejadian.

Katanya, sampai dekat lokasi, kenderaan di hadapan mereka terlibat kemalangan membuatkan mereka berhenti di lorong kecemasan.

"Fatihah sempat hubungi Plus maklumkan kemalangan dan mereka bertiga turun dari kereta meredah hujan sebab nak tahu keadaan sebenar mangsa.

"Awalnya saya sangka ambulans datang untuk mangsa yang kemalangan itu, rupanya datang untuk bawa rakan.

"Saya terkedu sampai tak tahu nak buat apa, mereka pergi sekelip mata sedangkan sebelum itu kami begitu ceria dalam kereta," katanya.

Sementara itu, rasa tidak sedap hati seorang ibu menerima panggilan telefon bertalu-talu, rupa-rupanya membawa perkhabaran duka anak gadisnya, Fatihah Nabila terlibat kemalangan.

Jamaliah Jaafar, 52, berkata, hatinya terdetik ada sesuatu yang tidak kena selepas menerima lima panggilan telefon daripada anak saudaranya ketika sedang menunaikan solat Zohor.

"Saya terkejut apabila diberitahu bahawa anak saya maut dalam kemalangan. Saya dan suami yang mulanya cadang untuk pulang ke kampung terus segera ke hospital," katanya ketika ditemui di Unit Forensik Hospital Slim River di sini pada Jumaat.

Jamaliah berkata, anak sulung daripada lima beradik yang bekerja sebagai guru Pusat Asuhan Tunas Islam (Pasti) itu seorang yang aktif dalam kerja kebajikan dan politik sejak belajar di universiti lagi.

Katanya, arwah juga mempunyai jiwa besar dengan sering membantu rakan serta komuniti setempat yang memerlukan bantuan dalam urusan harian.

"Fatihah juga anak yang sangat baik, dia tidak pernah kedekut dengan adik-adik, setiap kali dapat gaji, dia akan kirim belanja sekolah adik-adiknya.

"Malam sebelum kejadian, kami ada buat 'video call', dia nampak ceria dan banyak ketawa, tak sangka langsung yang hari ini dia telah tiada. Mungkin ALLAH mahu beri kenangan itu kepada kami," katanya.

Jenazah disembahyangkan ahli keluarga dan komuniti Pas Sungai Petani sebaik selesai urusan mandi dan kafan di Unit Forensik Hospital Slim River pada Jumaat.
Jenazah disembahyangkan ahli keluarga dan komuniti Pas Sungai Petani sebaik selesai urusan mandi dan kafan di Unit Forensik Hospital Slim River pada Jumaat.

Semua jenazah dibawa pulang ahli keluarga sekitar jam 12 malam sebaik selesai menjalani proses bedah siasat di Hospital Slim River untuk urusan pengebumian pada pagi Sabtu.

Jenazah Fatihah Nabila dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Bukit Berangan, Kota Kuala Muda; Allahyarham Taibah di Tanah Perkuburan Islam Kampung Teluk Wang, Sungai Petani manakala Nurul Najihah di Tanah Perkuburan Masjid Al Irfan, Derga, Alor Setar.