Isu penjualan tanah PDC: Kon Yeow saman Kok Ping

Chow Kon Yeow, Tan Kok Ping
Chow Kon Yeow, Tan Kok Ping
A
A
A

GEORGE TOWN - Ketua Menteri Pulau Pinang, Chow Kon Yeow akan mengambil tindakan undang-undang terhadap Penasihat Eksekutif Dewan Perniagaan Tionghua Pulau Pinang (PCCC), Tan Sri Tan Kok Ping kerana didakwa mengaibkannya.

Dalam satu kenyataan media, keputusan itu dibuat dalam Majlis Mesyuarat Kerajaan (MMK) Pulau Pinang yang bersidang pada Khamis.

"MMK Pulau Pinang memutuskan secara sebulat suara supaya Kon Yeow mengambil tindakan undang-undang terhadap Kok Ping yang juga Presiden Kehormat Seumur Hidup PCCC di atas kenyataan beliau yang mengaibkan dan menjatuhkan maruah Kon Yeow sebagai Ketua Menteri.

"Kenyataan tersebut dibuat pada sidang media yang diadakan oleh pertubuhan berkaitan pada semalam dan telah disiarkan oleh media cetak dan dalam talian secara meluas," kata kenyataan itu pada Khamis.

Menurut kenyataan itu lagi, keputusan MMK itu dibuat berdasarkan liputan media yang memetik Kok Ping telah menggunakan perkataan-perkataan mengaibkan dan menjatuhkan maruah Kon Yeow.

"Tindakan undang-undang ini akan diuruskan oleh peguam bagi tindakan selanjutnya," jelas kenyataan itu lagi.

Dalam sidang media pagi Rabu, PCCC menyatakan kekesalannya apabila beberapa soalan berkaitan penjualan tanah di Byram, Batu Kawan yang dikemukakan kepada Kon Yeow sejak Julai lalu tidak dijawab sehingga ke hari ini.

Antara persoalan yang dikemukakan adalah bagaimana proses penjualan tanah berlaku, siapa di pihak PDC yang memberikan kelulusan dan siapa yang beri kuasa untuk menandatangani proses tersebut.

Artikel Berkaitan:

Beberapa media juga melaporkan, Kok Ping menuduh Kon Yeow sebagai 'tidak cekap, jahil dan tidak tahu malu' kerana mengelak soalan mengenai perjanjian itu.

Sebelum ini, PCCC telah mempertikai penjualan tanah seluas 223.6 hektar yang terletak di kawasan Seberang Perai Selatan itu dijual kepada sebuah syarikat tanpa melalui tender terbuka.

Susulan itu, Kon Yeow dalam satu kenyataannya telah mempertahankan urus niaga menerusi rundingan terus yang dimeterai dengan UMECH Construction Sdn Bhd.

Namun pada Selasa, Lembaga Perbadanan Pembangunan Pulau Pinang (PDC) telah menamatkan perjanjian usaha sama dengan pihak UMECH Land Sdn Bhd selepas mendapati berlaku perubahan majoriti struktur ekuiti syarikat berkenaan.

Menurut PDC, perubahan majoriti struktur ekuiti syarikat UMECH Land Sdn Bhd itu juga disifatlan sebagai satu tindakan yang tidak boleh diterima.

Bagaimanapun, Lembaga PDC mengesahkan bahawa proses pemilihan syarikat UMECH Land Sdn Bhd dalam pembelian tanah di Batu Kawan itu dijalankan dengan telus.