Isu penjualan tanah: Kon Yeow nafi tidak jawab soalan PCCC

Chow Kon Yeow
Chow Kon Yeow
A
A
A

GEORGETOWN - Ketua Menteri, Chow Kon Yeow menafikan dakwaan bahawa beliau tidak menjawab setiap persoalan yang dibangkitkan Dewan Perniagaan Tionghua Pulau Pinang (PCCC) mengenai penjualan tanah di Byram, Batu Kawan sejak Julai lalu.

Kon Yeow berkata, sebagai Pengerusi Perbadanan Pembangunan Pulau Pinang (PDC), beliau sudah menjawab persoalan yang ditimbulkan PCCC menerusi surat yang dibalas oleh pengurusan PDC kepada mereka.

"Setiap persoalan yang ditimbulkan telah dijawab oleh PDC yang mana, saya merupakan Pengerusi PDC. Oleh itu, setiap jawapan daripada PDC, adalah daripada saya juga.

"Seperti mana saya beritahu semalam (Selasa), rujuk kepada kenyataan yang Lembaga PDC keluarkan, itu lah ketetapan yang telah dibuat selepas Lembaga PDC bermesyuarat pada Isnin lalu," katanya pada sidang media di Komtar di sini, pada Rabu.

Ditanya mengenai gesaan PCCC agar PDC menstruktur semula pentadbirannya ekoran isu berkenaan, Kon Yeow berkata, selain keputusan menamatkan usaha sama PDC bersama UMECH Land Sdn Bhd, pengurusan PDC juga akan menyediakan satu kertas kerja untuk mengkaji semula proses penjualan tanah milik perbadanan tersebut.

"Terima kasih kepada mana-mana pihak yang memberi cadangan untuk menambah baik prestasi kerajaan, baik kerajaan negeri atau agensi kerajaan negeri.

"Selain membuat keputusan yang dikeluarkan dalam kenyataan berkenaan (menamatkan usaha sama), Lembaga PDC juga mengarahkan pengurusan PDC menyediakan satu kertas kerja bagi mengkaji semula proses penjualan tanah untuk projek-projek yang akan dilaksanakan atas tanah-tanah PDC. Ini kerana, kita ingin menambah baik proses berkenaan.

"PDC memang melaksanakan beberapa kaedah dalam urus niaga tanah PDC sama ada melalui tender terbuka, Request For Proposal (RFP), rundingan terus oleh pihak-pihak berkenaan. Arahan itu adalah supaya pengurusan dapat menghalusi semua kaedah ini supaya jelas jenis projek dan kaedah yang perlu digunakan," katanya.

Artikel Berkaitan:

Jelas beliau, hal tersebut dibuat agar tidak wujud sebarang pertikaian atau kelemahan dalam proses urus niaga tanah milik PDC.

"Pengurusan PDC diberi masa secepat mungkin untuk dibentangkan kepada Lembaga PDC dalam mesyuarat seterusnya, dalam beberapa minggu lagi," katanya.

Dalam sidang media pagi Rabu, PCCC menyatakan kekesalannya apabila beberapa soalan yang dikemukakan kepada Kon Yeow sejak Julai lalu tidak dijawab sehingga ke hari ini.

Antara persoalan yang dikemukakan adalah bagaimana proses penjualan tanah berlaku, siapa di pihak PDC yang memberikan kelulusan dan siapa yang beri kuasa untuk menandatangani proses tersebut.

Sebelum ini, PCCC mempertikai penjualan tanah seluas 223.6 hektar di Batu Kawan, Seberang Perai Selatan dijual kepada sebuah syarikat tanpa melalui tender terbuka.

Susulan itu, Kon Yeow dalam satu kenyataannya telah mempertahankan urus niaga menerusi rundingan terus yang dimeterai dengan UMECH Construction Sdn Bhd.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!