Ambil teguran Tun Daim secara positif

Tun Daim menggariskan empat isu utama yang sering menjadi perhatian rakyat iaitu ekonomi, kos sara hidup, perumahan dan pekerjaan.
Tun Daim menggariskan empat isu utama yang sering menjadi perhatian rakyat iaitu ekonomi, kos sara hidup, perumahan dan pekerjaan.
A
A
A

SUDAH banyak kali bekas Menteri Kewangan, Tun Dr Daim Zainuddin memberikan teguran yang serupa kepada kerajaan Pakatan Harapan (PH).

Antara teguran tersebut ialah kerajaan perlu memberi perhatian kepada empat isu utama dalam mendepani masalah ekonomi yang dijangka perlahan tahun depan.

Beliau menggariskan empat isu utama yang sering menjadi perhatian rakyat iaitu ekonomi, kos sara hidup, perumahan dan pekerjaan.

Teguran demi teguran yang diberikan itu bukan bertujuan untuk menjatuhkan kredibiliti kerajaan sebaliknya sebagai satu ingatan bahawa mereka telah dipilih oleh rakyat untuk melakukan perubahan selepas memenangi Pilihan Raya Umum Ke-14.

Sudah tentu kerajaan membaca dan mendengar saranan yang diberikan oleh Daim yang pernah dilantik sebagai Pengerusi Jawatankuasa Majlis Penasihat Kerajaan. Justeru, rakyat kini ternanti-nanti apakah langkah yang bakal diambil oleh kerajaan bagi mengatasi masalah tersebut.

Dengan berbaki lapan hari sahaja lagi, negara akan melangkah ke tahun 2020 yang menandakan sudah 20 bulan kerajaan PH mentadbir negara. Bagaimanapun, untuk memberikan sedikit kelegaan kepada rakyat, beberapa usaha sudah dirancang menerusi Belanjawan 2020 yang dibentangkan sebelum ini.

Menerusi belanjawan itu, kerajaan telah meningkatkan subsidi dan bantuan sosial sebanyak RM24.2 bilion termasuk bantuan Kebajikan seperti Bantuan Sara Hidup.

Dari segi pekerjaan, kerajaan memperuntukkan sebanyak RM500 sebulan selama dua tahun kepada yang menganggur lebih 12 bulan. Majikan pula mendapat insentif sebanyak RM300 jika mereka mengambil graduan terbabit bekerja.

Artikel Berkaitan:

Sementara itu, untuk membantu rakyat memiliki rumah, kerajaan melanjutkan Skim Perumahan Belia yang dikendalikan oleh Bank Simpanan Nasional mulai 1 Januari 2020 sehingga 31 Disember 2021.

Bagi Skim Pembiayaan Sewa untuk Memiliki, pembiayaan sebanyak RM10 bilion disediakan oleh institusi kewangan dengan sokongan kerajaan melalui penyediaan jaminan sebanyak 30 peratus.

Bagaimanapun, usaha yang lebih jitu perlu dilakukan kerajaan terutamanya memperkenalkan lebih banyak peluang pekerjaan kepada rakyat untuk merancakkan ekonomi.