Rugi RM4.5 trilion akibat rasuah: Kerajaan perlu bertindak tegas

Nurhayati
Nurhayati
A
A
A

SHAH ALAM - Komitmen kerajaan melakukan siasatan berhubung laporan Malaysia mengalami kerugian besar akibat rasuah dan ketirisan perlu disusuli dengan tindakan tegas.

Ketua Pegawai Eksekutif Yayasan Sinar Untuk Malaysia #RasuahBusters Nurhayati Nordin berkata, ketegasan dari segi amalan terbaik, etika kerja dan kaedah pemantauan perlu diteliti segera bagi memerangi gejala rasuah.

“Ketirisan berlaku seperti dilaporkan sebanyak RM4.5 trilion datang daripada pelbagai faktor dan sektor. Kita ada Corruption Perspective Index yang menunjukkan kedudukan persepsi rasuah di negara ini perlu diperbaiki.

“Jadi indikator tersebut perlu diambil perhatian sebagai langkah awal kerajaan mengambil tindakan meneliti apakah punca utama rasuah begitu sukar dibendung dan apakah tindakan serta langkah yang boleh segera dilaksanakan," katanya kepada Sinar Harian pada Ahad.

Pada Sabtu, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengarahkan agar siasatan dijalankan berhubung laporan Malaysia mengalami kerugian mencecah RM4.5 trilion dalam tempoh 26 tahun akibat rasuah dan ketirisan.