Kereta putus dua, penyelia dewan makan Maktab Mahmud maut

Keadaan kereta Proton Iswara dipandu seorang wanita selepas terbabit dalam kemalangan dengan sebuah pacuan empat roda jenis Toyota Hilux di Jalan Kampung Bukit Pak Kuning, Kuala Ketil pada Rabu. - Foto ihsan PDRM
Keadaan kereta Proton Iswara dipandu seorang wanita selepas terbabit dalam kemalangan dengan sebuah pacuan empat roda jenis Toyota Hilux di Jalan Kampung Bukit Pak Kuning, Kuala Ketil pada Rabu. - Foto ihsan PDRM
A
A
A

BALING - Seorang wanita maut selepas kereta Proton Iswara yang dipandunya terputus dua selepas terbabit dalam kemalangan dengan sebuah pacuan empat roda jenis Toyota Hilux di Jalan Kampung Bukit Pak Kuning, Kuala Ketil, pada Rabu.

Mangsa, Farah Nabihan Mohamad, 37, yang juga penyelia dewan makan Maktab Mahmud Baling meninggal dunia di tempat kejadian akibat kecederaan parah di kepala.

Ketua Polis Daerah Baling, Superintenden Shamsudin Mamat berkata, pihaknya menerima maklumat berhubung kemalangan itu pada jam 5 petang yang membabitkan dua kenderaan terbabit.

Beliau berkata, siasatan awal di lokasi kejadian mendapati kenderaan pikap yang dipandu lelaki berusia 57 tahun bersama penumpangnya, seorang wanita berusia 54 tahun datang dari arah Kuala Ketil menghala ke Parit Panjang.

"Sebaik tiba di tempat kejadian, kereta Proton Saga Iswara yang dipandu mangsa yang datang dari arah bertentangan dipercayai hilang kawalan lalu masuk ke laluan Toyota Hilux berkenaan dalam kedudukan melintang.

"Disebabkan jarak terlalu dekat, pemandu kenderaan pikap itu tidak sempat mengelak lalu melanggar di bahagian hadapan sebelah kiri Proton Saga Iswara berkenaan menyebabkan ia terputus dua," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Shamsudin berkata, akibat kemalangan itu, pemandu kereta Proton Iswara Aeroback itu tercampak ke sebelah kiri jalan dan mengalami cedera parah.

Beliau berkata, mangsa disahkan meninggal dunia di tempat kejadian manakala pemandu dan penumpang hadapan kenderaan pikap itu hanya mengalami luka di bahagian dahi.

Artikel Berkaitan:

Katanya, mayat mangsa kemudian dihantar ke Unit Forensik Hospital Kulim untuk dibedah siasat.

Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987. - Awani