Jualan kereta Proton meningkat pada Mei

Proton X50 terus mendahului jualan segmen B dan keseluruhan SUV dengan 2,801 unit terjual pada Mei.
Proton X50 terus mendahului jualan segmen B dan keseluruhan SUV dengan 2,801 unit terjual pada Mei.
A
A
A

JUALAN pengeluar kereta nasional, Proton Holdings Bhd (Proton) meningkat semula pada Mei berikutan permulaan yang perlahan pada suku kedua 2023 disebabkan pasaran automotif Malaysia terjejas oleh cuti perayaan dan penamatan penghantaran untuk kereta bebas cukai pada Mac.

Proton dalam satu kenyataan berkata, sebanyak 13,268 unit melibatkan pasaran domestik dan eksport dijual bulan lepas bersamaan dengan pertumbuhan jualan 40.9 peratus berbanding April dan peningkatan 35.5 peratus berbanding Mei 2022.

Menurut kenyataan itu, jualan untuk lima bulan pertama tahun ini berjumlah 62,970 unit, peningkatan tahun ke tahun sebanyak 38.9 peratus penumbuhan tertinggi bagi mana-mana jenama dalam pasaran automotif Malaysia.

“Jumlah Volum Industri (TIV) dianggarkan meningkat semula sebanyak 32.2 peratus pada bulan Mei, dengan jualan 61,600 unit dan hasilnya, pegangan pasaran Proton dianggarkan pada 21.5 peratus untuk bulan tersebut dan 20.9 peratus untuk tahun ini,” jelas kenyataan itu.

Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif Proton, Roslan Abdullah berkata, Mei tidak dapat dilupakan oleh Proton bukan sahaja dari segi pencapaian jualan tetapi juga kerana ia juga melancarkan Proton X90 dan meraikan ulang tahun ke-40 pada bulan yang sama.

“Kami berasa rendah diri dengan angka yang dipaparkan dan peningkatan 40 peratus dalam jualan adalah ganjaran yang adil untuk usaha kami, tetapi masih ada tujuh bulan lagi bagi tahun 2023 dan syarikat sedang berusaha untuk mendapatkan banyak lagi.

“Bagi prestasi model terbaharu kami, permintaan untuk Proton X90 adalah kukuh kerana pelanggan memanfaatkan pakej 'early bird' kami yang menawarkan aksesori, Proton X-Watch, pakej data dengan 4GB percuma selama lima tahun dan faedah insurans yang dipertingkatkan,” kata Roslan.

Proton Saga mengekalkan kedudukannya sebagai model terlaris dengan 5,819 unit terjual pada Mei.
Proton Saga mengekalkan kedudukannya sebagai model terlaris dengan 5,819 unit terjual pada Mei.

Menurut Roslan, syarikat juga akan mengadakan lebih banyak pelancaran produk baharu dan memperkenalkan kemas kini kepada model Proton yang sedia ada serta membuat penampilan pertamanya dalam pasaran EV melalui anak syarikatnya, Pro-Net, jadi terdapat banyak aktiviti untuk sepanjang 2023.

Proton memasuki pasaran eksport baharu pada Mei, pasaran pertamanya untuk 2023 dan ke-12 secara keseluruhan apabila ia diperkenalkan pada 24 Mei di Mozambique.

Sebagai permulaan, pengimport tempatan menawarkan Proton X70 dan Proton X50 yang menggembar-gemburkan ciri keselamatan dan kemewahan mampu milik mereka sebagai ciri jualan unik.

Selain memasuki pasaran baharu, Mei juga merupakan bulan terbaik untuk jualan eksport setakat ini untuk 2023 dengan 217 unit dihantar kepada pengedar antarabangsa, yang didahului oleh Proton Saga.

Sorotan pasaran eksport lain untuk bulan itu termasuk jualan 50 unit di Brunei, yang merupakan bulan jualan terbaik di pasarannya, melebihi 43 unit yang dijual pada April 2021.

Bagi jualan keseluruhan, Proton Saga mengekalkan kedudukannya sebagai model terlaris dengan 5,819 unit terjual pada Mei.

Pencapaian itu meletakkannya di tempat kedua secara keseluruhan untuk sedan segmen A dengan 27,214 unit terjual setakat ini, peningkatan yang luar biasa sebanyak 51 peratus berbanding tahun sebelumnya.

Terdapat tiga model Proton masih menerajui jualan keseluruhan segmen. Proton X50 terus mendahului jualan segmen B dan keseluruhan SUV dengan 2,801 unit terjual pada Mei.

Proton Persona pula kekal di tangga teratas sedan segmen B, walaupun ia menduduki tempat kedua untuk jualan dengan 2,290 unit, Proton Exora pula mencapai 440 jualan untuk kekal di tangga teratas pasaran MPV segmen C.

Pertumbuhan jualan YTD bagi tiga peneraju segmen ialah 31 peratus untuk Proton X50, 78 peratus untuk Proton Persona dan 39 peratus untuk Proton Exora, membuktikan permintaan untuk model Proton kekal kukuh walaupun ada saingan daripada pesaing baharu.

Ini kekal benar untuk Proton Iriz juga kerana 732 unit yang dijual pada Mei membantunya mencapai peningkatan sebanyak 47 peratus dalam jualan YTD.

Sebanyak 929 unit Proton X70 telah dijual pada Mei manakala Proton X90 yang serba baharu menamatkan tiga minggu pertamanya dengan 257 unit terjual, yang meletakkannya di tempat kedua dalam pasaran SUV segmen D.