Treler terbalik, kelindan maut tersepit

TANJUNG MALIM - Seorang kelindan maut selepas tersepit dalam kemalangan membabitkan sebuah lori dan treler di Kilometer 386 Lebuhraya Utara Selatan, arah selatan berhampiran Slim River dekat sini pada Jumaat.
Panggilan kecemasan berhubung kejadian itu diterima Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Slim River pada jam 9.45 pagi melibatkan mangsa, lelaki berusia 33 tahun.

Pemangku Penolong Pengarah Bahagian Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak, Shazlean Mohd Hanafiah berkata, treler muatan gula pasir dinaiki mangsa telah terbabas ke bahu jalan sebelum terbalik.
"Ketua operasi telah menjalankan penilaian awal dan mengaplikasikan konsep SAVER sebelum anggota melakukan kerja-kerja penyelamatan menggunakan peralatan khas bagi mengeluarkan mangsa yang tersepit.
"Mangsa kemudiannya disahkan meninggal dunia di tempat kejadian. Pemandu treler berusia 51 tahun bagaimanapun selamat tanpa sebarang kecederaan," katanya dalam kenyataan di sini pada Jumaat.
Beliau berkata, sebuah lagi kenderaan terlibat iaitu lori muatan barangan plastik didapati telah terbabas ke dalam longkang semasa anggota tiba di tempat kejadian.

Katanya, keadaan itu mengakibatkan pemandunya, seorang lelaki berusia 32 tahun mengalami kecederaan ringan.
"Seramai lapan anggota bomba terlibat dengan kekuatan satu jentera Fire Rescue Tender (FRT) dan satu jentera Emergency Medical Rescue Services (EMRS).
"Operasi tamat sepenuhnya pada jam 11.30 pagi," katanya.
Ringkasan AI
- Seorang kelindan maut selepas tersepit dalam kemalangan membabitkan lori dan treler di Lebuhraya Utara Selatan
- Kemalangan terjadi dekat Slim River, mangsa berusia 33 tahun
- Treler muatan gula pasir terbabas dan terbalik
- Mangsa disahkan meninggal dunia di tempat kejadian, pemandu treler selamat
- Lori muatan barangan plastik juga terlibat, pemandunya cedera ringan
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

